BERITA TERKINI   Kementerian Komunikasi dan MCMC teliti ekosistem keseluruhan permainan dalam talian, bukan hanya satu platform - Fahmi | Wartawan berhak tanya soalan selaras prinsip keterbukaan dan saling menghormati antara media dengan kerajaan - Fahmi | Laporan akhir siasatan kemalangan maut lori kerikil dan lori FRU di Teluk Intan dimuat naik di portal rasmi MOT hari ini - MOT | Kemalangan maut lori kerikil dan lori FRU di Teluk Intan, berpunca lebihan muatan kerikil 70 peratus daripada had BDM dibenarkan - MOT | APEC sedang menjana idea baharu yang menangani cabaran bagi membentuk masa depan bersama kita - PM Anwar | 

Ringgit Ditutup Lebih Rendah Berbanding Dolar AS Menjelang Simposium Jackson Hole

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih tinggi minggu ini berbanding mata wang serantau, tetapi menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang Simposium Dasar Ekonomi Jackson Hole lewat hari ini, apabila peniaga menunggu isyarat mengenai dasar monetari AS.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.2245/2295 berbanding dolar AS ketika ditutup semalam pada 4.2235/2275.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pemain pasaran memberi tumpuan kepada ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS Jerome Powell pada simposium malam ini. 

“Peniaga sedang mencari petunjuk isyarat sama ada Fed akan mengurangkan kadar faedah dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) seterusnya pada September. 

“Peluang untuk pemotongan kadar faedah telah dikurangkan kepada 74 peratus daripada lebih 80 peratus sebelum ini, yang menunjukkan bahawa pasaran masih ragu-ragu sama ada Fed akan melaksanakan pengurangan kadar itu,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, di peringkat domestik, Mohd Afzanizam berkata inflasi Malaysia meningkat 1.2 peratus tahun ke tahun pada Julai 2025, yang secara amnya sejajar dengan jangkaan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini. 

Ketika ditutup, ringgit ditutup kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama. 

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.8996/9054 daripada 4.9226/9263 pada Khamis, dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.8408/8443 daripada 2.8595/8626 sebelumnya, tetapi merosot berbanding pound Britain kepada 5.6659/6726 daripada 5.6899/6953 semalam.

Sementara itu, mata wang tempatan diniaga lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN yang lain. 

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2763/2805 daripada 3.2819/2853 ketika ditutup pada Khamis, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9387/9592 daripada 12.9460/9638 semalam dan menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 258.3/258.7 daripada 259.2/259.6 sebelumnya. 

Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding peso Filipina kepada 7.42/7.43 daripada 7.40/7.42 semalam.

-- BERNAMA