Pasaran Getah Ditutup Tinggi Menjejaki Niaga Hadapan Serantau

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia pulih daripada penurunan semalam untuk ditutup lebih tinggi pada Khamis, mengambil petunjuk daripada niaga hadapan getah serantau yang lebih teguh dan harga minyak mentah yang lebih kukuh, kata seorang peniaga. 

Beliau berkata sentimen turut dirangsang oleh jangkaan yang semakin meningkat mengenai langkah sokongan ekonomi berterusan daripada Beijing.

Ketika ini, harga minyak mentah Brent meningkat 0.76 peratus kepada US$67.29 setong. 

Beliau menambah niaga hadapan getah Jepun turut meningkat pada Khamis, disokong oleh harga minyak yang lebih tinggi dan kebimbangan berterusan mengenai cuaca buruk di wilayah pengeluar utama, ketika peniaga menilai prospek pengeluaran pada musim pengeluaran puncak.

“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan pengumuman minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS. Minit itu menunjukkan bahawa penggubal dasar memilih pendekatan tunggu dan lihat mengenai penurunan kadar di tengah-tengah risiko inflasi berkaitan tarif,” katanya kepada Bernama.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 10 sen kepada 734.5 sen sekilogram manakala lateks pukal naik 1.5 sen kepada 568.5 sen sekilogram. 

-- BERNAMA