Matrix Concepts Catat Untung Lebih Tinggi Sebanyak RM62.94 Juta Pada Suku Pertama
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Matrix Concepts Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM62.94 juta bagi suku pertama fiskalnya berakhir 30 Jun 2025 (S1 2026) berbanding RM60.70 juta bagi suku yang sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata perolehan turut meningkat kepada RM284.28 juta daripada RM279.72 juta sebelumnya, terutamanya berikutan perolehan lebih tinggi daripada segmen pembangunan hartanah.
Menurut pemaju hartanah itu, perolehan lebih tinggi didorong oleh prestasi menggalakkan bagi pembangunan bertingkat kedua di Kuala Lumpur, iaitu Levia Residence yang merekodkan hasil sebanyak RM26.6 juta pada suku pertama.
“Berikutan prestasi jualan yang menggalakkan bagi Fasa 1 dan 2, Levia Residence dijangka terus memberi sumbangan positif kepada prestasi kewangan kumpulan,” tambahnya.
Sementara itu, segmen perniagaan kumpulan yang lain menunjukkan prestasi bercampur-campur kerana perolehan kekal stabil pada RM16 juta pada suku pertama 2026 daripada RM16.2 juta pada suku yang sama, menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 1.3 peratus.
Mengenai prospeknya, kumpulan itu berkata ia berada kedudukan yang baik untuk mencatatkan pertumbuhan berterusan, disokong oleh permintaan yang berdaya tahan, terutamanya bagi projek utamanya Sendayan Developments di Seremban, Negeri Sembilan.
“Pembangunan berterusan bertujuan menarik pembeli rumah dari Lembah Klang yang mencari rumah mampu milik, berkualiti tinggi di luar pusat bandar. Permintaan ini diperkukuhkan lagi oleh infrastruktur yang bertambah baik, ketersambungan jalan yang diperluaskan, dan pelaksanaan kerja jarak jauh dan hibrid yang semakin meluas,” katanya.
Kumpulan itu telah mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 1.75 sen sesaham, yang akan dibayar pada 9 Okt, 2025.
-- BERNAMA