BERITA TERKINI   Polis jangka sebanyak 2.1 juta kenderaan akan berada di atas jalan raya sempena cuti Deepavali bermula 18 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Ops Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Okt - Pengarah JSPT Bukit Aman | Op Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan polis bermula 17 hingga 21 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Akta Perkhidmatan Pos 2012 akan dipinda, pastikan ekosistem lebih lestari, jamin kebajikan pekerja - Fahmi | Dana Perkhidmatan Pos inisiatif strategik, sokong transformasi sektor pos agar kekal relevan, mampan dan berdaya saing - Fahmi | 

Kesan Sekatan Pasaran AS Terhadap Minyak Sawit Malaysia Dijangka Minimum - KPK

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kesan langsung daripada sekatan atau cabaran pasaran Amerika Syarikat (AS) terhadap industri minyak sawit Malaysia dijangka pada tahap minimum, kata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Menurutnya minyak sawit dari Malaysia dipersijilkan mampan oleh Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan mempunyai ciri dan fungsi khusus yang sukar digantikan dengan minyak lain. 

“Oleh itu, tahap kebergantungan industri di AS terhadap bahan berasaskan sawit yang mampan adalah tinggi,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

KPK menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai pelan jangka pendek dan sederhana yang dirangka kerajaan untuk industri sawit menyesuaikan diri dengan pasaran AS. 

Menurut kementerian, pada 2024, Malaysia telah mengeksport sebanyak 191,231 tan metrik minyak sawit ke AS, dengan nilai ini hanya 1.1 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit negara bagi tahun berkenaan.

Katanya pada masa sama, kerajaan tetap komited menyediakan pelbagai bentuk sokongan khususnya kepada pekebun kecil.

“Sebagai contoh Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit serta geran khas seperti pembekalan produk untuk kawalan penyakit reput pangkal batang ganoderma bagi membantu pekebun kecil. 

“Bantuan sebegini boleh membantu untuk mengurangkan kesan atau impak kepada pekebun kecil di Malaysia daripada perubahan dasar perdagangan di peringkat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA