BERITA TERKINI   Kerajaan kekalkan bantuan BUDI Diesel RM300 bagi April yang akan disalurkan mulai 8 April, manfaatkan 340,000 penerima dengan peruntukan RM102 juta - MoF | Kerajaan MADANI terus bertindak proaktif berlandaskan data dan realiti semasa supaya langkah diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan dalam menghadapi krisis tenaga global - PM Anwar | PM Anwar mahu seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik, utamakan barangan tempatan dan sokong usahawan tempatan sebagai benteng utama mengharungi krisis tenaga global | Pemandu lori maut dalam kemalangan babitkan dua lori tangki di KM40.6 lebuh raya PLUS Kulai ke Sedenak tengah hari tadi - Bomba | SPM 2025: MRSM catat indeks GPM 2.067 dengan 100 peratus calon layak terima sijil - TPM Ahmad Zahid | 

Pembelian Pesawat Boeing Bernilai US$9.5 Bilion Tidak Jejas Hutang Negara - MOF

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Pembelian pesawat Boeing bernilai US$9.5 bilion bagi fasa kedua tidak akan menjejaskan tahap hutang negara serta memberi impak kepada defisit fiskal Malaysia, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata pembelian pesawat tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK3).

“Pada masa ini, semuanya berada dalam jangkaan kita,” kata Lim dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai langkah kontingensi kerajaan dalam mengawal beban hutang negara selepas Malaysia membuat komitmen untuk membeli pesawat dari Amerika Syarikat (AS).

Menjawab pertanyaan asal Nik Muhammad berkenaan justifikasi kerajaan dalam membenarkan hutang negara kekal tinggi di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik, Lim berkata peningkatan hutang kerajaan adalah disebabkan oleh keperluan kerajaan untuk membiayai defisit fiskal bagi menampung perbelanjaan pembangunan (DE).

“Pembiayaan ini secara langsung akan meningkatkan paras hutang kerajaan selagi mana kedudukan kewangan kerajaan mengalami defisit,” kata beliau.

Lim berkata kerajaan membiayai DE menerusi pelbagai sumber seperti hasil cukai dan pendapatan bukan cukai.

“Sehingga kini, kerajaan tidak pernah meminjam melebihi had statutori yang dibenarkan di dalam akta-akta berkaitan hutang Kerajaan Persekutuan.

"Setakat akhir Jun 2025, instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia adalah pada kadar 62.7 peratus, iaitu tidak melebihi had 65 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar yang ditetapkan di bawah Akta 637 dan Akta 275," kata beliau.

Lim turut berkata pinjaman luar pesisir berjumlah RM22.8 bilion iaitu tidak melebihi paras RM35 bilion yang ditetapkan di bawah Akta 403 dan Bil Perbendaharaan Malaysia berjumlah RM2 bilion, tidak melebihi paras RM10 bilion yang ditetapkan di bawah Akta 188.

-- BERNAMA