BERITA TERKINI   Piala FA: Kelantan TRW 3-1 KL City | Piala FA: Negeri Sembilan 5-0 PDRM | 

Konflik Iran-Israel Dijangka Lonjak Harga Minyak Global, Kos Industri Meningkat - MITI

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berpandangan konflik Iran-Israel yang berlanjutan dijangka menyebabkan lonjakan harga minyak global sekali gus meningkatkan harga bahan mentah dan kos logistik.

Menurut MITI keadaan itu memberi tekanan kepada inflasi import dan menjejaskan kos pengeluaran dalam sektor-sektor strategik negara seperti elektrik dan elektronik, kimia dan petrokimia, automotif serta makanan diproses.

“Sehubungan itu, MITI akan terus memberikan perhatian terhadap sebarang kesan tidak langsung yang mungkin timbul demi memastikan kelangsungan dan kestabilan ekonomi negara.

“Sebagai langkah mitigasi, kerajaan sedang mempergiat usaha mempelbagaikan sumber bekalan antarabangsa dan menggalakkan pelaburan dalam pengeluaran tempatan bahan mentah kritikal bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber luar negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MITI menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) yang ingin tahu penilaian strategik kementerian terhadap kesan konflik bersenjata Iran-Israel terhadap kestabilan ekonomi Malaysia, terutamanya dalam aspek geopolitik tenaga, tekanan ke atas rantaian bekalan global, risiko inflasi import dan keberlangsungan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor strategik negara.

Kementerian juga berpandangan konflik Iran-Israel berpotensi menjejaskan kestabilan geopolitik di Timur Tengah, terutamanya di kawasan laluan kritikal eksport tenaga global seperti Selat Hormuz.

Sehubungan itu, katanya Malaysia menyambut baik gencatan senjata yang diumumkan pada 24 Jun 2025.

Menurut MITI Selat Hormuz adalah saluran maritim kritikal yang mengendalikan kira-kira satu pertiga perdagangan minyak dunia dan sebarang penutupan boleh memberi kesan besar kepada pasaran global, terutamanya negara-negara Asia seperti China, Jepun dan Malaysia.

MITI sentiasa komited untuk melindungi kepentingan ekonomi negara melalui pelaksanaan langkah strategik jangka pendek dan panjang bagi memperkukuh industri tempatan, menstabilkan rantaian bekalan, mengurangkan kos pengeluaran serta menarik dan mengekalkan FDI berkualiti tinggi.

Kementerian juga akan terus memantau perkembangan konflik Iran-Israel dan akan mengambil tindakan proaktif bagi menangani kesannya terhadap perdagangan negara, memastikan kelangsungan rantaian bekalan, memelihara kestabilan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA