BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Bursa Malaysia Meningkat Semula Untuk Dibuka Tinggi

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan minggu lepas untuk dibuka tinggi hari ini, didorong oleh minat belian sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih, kata peniaga.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.41 mata kepada 1,576.75 daripada 1,576.34 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.92 mata kepada 1,578.26.

Bagaimanapun, pasaran secara menyeluruh negatif sedikit, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 161 berbanding 136. Sejumlah 308 kaunter tidak berubah, 1,981 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 83.43 juta saham bernilai RM36.44 juta.

Menjejaki prestasi niaga hadapan indeks Wall Street yang positif, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka bursa tempatan akan memulakan minggu ini dengan positif.

“Wall Street secara keseluruhan ditutup rendah pada Jumaat lepas berikutan jualan runcit lemah dan peningkatan mendadak dalam jangkaan inflasi yang memberi tekanan kepada pasaran.

“Dari segi geopolitik, rundingan antara Trump dan Putin di Alaska mengenai pelan damai untuk Ukraine berakhir tanpa sebarang kejayaan walaupun Trump menyatakan sentimen yang optimis.

“Mengikut sektor, kami percaya segmen pembinaan dan utiliti akan terus mencatatkan prestasi lebih baik berikutan IJM baru-baru ini memperoleh projek pusat data terbesar bernilai RM1.4 bilion di Johor, menjadikan jumlah perolehan kontrak kepada RM9.2 bilion,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank mendatar pada RM9.80, Public Bank merosot 1.0 sen kepada RM4.44, CIMB berkurangan 3.0 sen kepada RM7.22 manakala Tenaga Nasional menambah 4.0 sen kepada RM13.66 dan IHH Healthcare naik 1.0 sen kepada RM6.83.

Bagi senarai yang diniagakan secara aktif, PRG Holdings meningkat 1.0 sen kepada 11 sen, Velesto naik setengah sen kepada 19 sen, NEXG mendatar pada 39.5 sen manakala SFP Tech berkurangan 1.0 sen kepada 14 sen.

Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas naik 3.75 mata kepada 11,734.81, Indeks FBMT 100 meningkat 4.42 mata kepada 11,517.28, Indeks FBM Emas Shariah menambah 15.76 mata kepada 11,670.61 dan Indeks FBM Mid 70 menokok 12.78 mata kepada 16,673.46 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 12 mata kepada 4,701.45.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 31.71 mata kepada 18,048.36, Indeks Perladangan naik 14.96 mata kepada 7,518.99, Indeks Tenaga naik 1.20 mata kepada 742.03 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.19 mata kepada 157.53.

-- BERNAMA