BERITA TERKINI   Rizab BNM berjumlah US$124.3 bilion pada 15 Dis, mencukupi untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan | Konflik Kemboja-Thailand: ASEAN mesti lakukan apa sahaja yang perlu untuk kekalkan keamanan dan kestabilan serantau - Mohamad Hasan | Konflik Kemboja-Thailand: Pengerusi ASEAN berduka atas korban awam, konflik berpanjangan - Mohamad Hasan | Pengerusi ASEAN gesa Kemboja, Thailand laksana Perjanjian Damai Kuala Lumpur sepenuhnya dan berkesan - Mohamad Hasan | Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai situasi terkini antara Kemboja dan Thailand di Kuala Lumpur bermula pada 12.14 tengah hari ini. | 

YCH Fusionaris Labur RM500 Juta Di Klang Bukti Potensi Pelaburan Jadi Realiti - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Pelaburan strategik oleh YCH Fusionaris Sdn Bhd membuktikan potensi pelaburan kini direalisasikan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pelaburan bernilai RM500 juta di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor oleh syarikat logistik terkemuka itu bermula daripada potensi yang dikenal pasti semasa Misi Pelaburan dan Perdagangan ke Singapura.

“Pelaburan ini bukan sahaja akan melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan serantau malah juga akan membuka 100 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Beliau berkata YCH juga sedang giat membina kerjasama dengan rakan kongsi logistik tempatan, sekali gus memperkasakan ekosistem perniagaan tempatan negara.

“Inilah bukti nyata bahawa setiap inisiatif Kerajaan MADANI adalah langkah permulaan yang membawa kepada pelaburan berimpak tinggi, demi kemajuan ekonomi dan teknologi negara kita. Daripada potensi, kita jadikan realiti,” katanya.

-- BERNAMA