BERITA TERKINI   India sokong peranan Malaysia sebagai negara rakan BRICS, aspirasi jadi anggota BRICS - Kenyataan Bersama | Malaysia sambut baik India sebagai Pengerusi BRICS 2026 - Kenyataan Bersama | PM Anwar, Modi saksi pertukaran 11 MoU antara Malaysia dan India | Perdagangan dua hala Malaysia-India dijangka melepasi AS$18.59 bilion, dicatatkan tahun lepas - PM Anwar | Malaysia, dalam konteks ASEAN, pasti dapat manfaat besar sekiranya rantau ini dapat memperoleh lebih banyak cara dan peluang untuk bekerjasama dengan India - PM Anwar | 

Import LNG Dari AS Tertakluk Kepada Keperluan Negara - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Keputusan Petronas untuk mengimport gas asli cecair (LNG) tambahan dari Amerika Syarikat (AS) adalah tertakluk kepada keupayaan dan keperluan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengimport lebih daripada apa yang disyaratkan. 

“Saya tidak fikir ini menjadi satu masalah kerana kita hanya mengimport apa yang kita perlukan dan berdasarkan terma komersial yang tidak akan membebankan Petronas dan negara,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang ingin mengetahui impak prasyarat oleh AS untuk negara mengimport LNG tambahan berjumlah US$3.4 bilion setahun bersamaan 4.0 juta tan metrik setahun kepada Petronas.

Anwar berkata perlu diingat bahawa negara juga mengeksport dan jika harga itu kompetitif, projek tersebut dianggap conventionally viable dan ada kemunasabahannya.

“Kita import tambahan termasuk dari AS jika menguntungkan kerana keperluan kita dan hasil kita masih lagi diperlukan di Jepun, Korea dan China. Permintaan (daripada) China itu adalah tinggi,” kata beliau.

-- BERNAMA