BERITA TERKINI   Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Berikutan Peningkatan Pasaran Serantau

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini, disokong oleh aliran meningkat dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat dan berada di landasan untuk merekodkan peningkatan mingguan, didorong oleh kebimbangan mengenai cuaca di Thailand dan kejelasan yang semakin baik mengenai dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS)-Jepun.

Menurutnya sentimen turut diperkukuh dengan keyakinan yang meningkat kepada penurunan kadar faedah AS pada September.

“JP Morgan pada masa ini menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat pada September berikutan isyarat kelemahan dalam pasaran buruh dan ketidaktentuan mengenai pencalonan terkini Presiden Donald Trump untuk jawatan dalam Fed,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan selanjutnya dihadkan oleh kebimbangan mengenai kelembapan momentum ekonomi AS.

“Jumlah rakyat AS yang memohon faedah pengangguran buat kali pertama meningkat sedikit pada minggu lepas, dan jumlah tuntutan pengangguran terus menokok kepada 1.974 juta bagi minggu berakhir 26 Julai, naik 38,000 daripada minggu sebelumnya -- melebihi jangkaan dan mencapai paras tertinggi sejak November 2021,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Standard Malaysia (SMR) 20 naik lapan sen kepada 726.00 sen sekilogram manakala susu getah pukal menokok 4.0 sen kepada 569.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA