BERITA TERKINI   Penerbitan bon lestari dijangka meningkat susulan pertumbuhan pesat pusat data – Moody’s Ratings | Peralihan MyBorderPass dan MyDigitalID kepada sistem MyNIISe akan diperluas secara berperingkat di pintu masuk negara bermula tahun ini - Saifuddin Nasution | Pendaftaran murid Tahun 1 bagi sesi 2027 dilaksana secara dalam talian bermula 15 Feb hingga 31 Mac - KP Pendidikan | Pimpinan tinggi agensi penguatkuasaan diberi tempoh seminggu nyata kesediaan pikul amanah atau tukar ke jawatan lain - PM Anwar | PM Anwar beri amaran keras kepada pihak berkuasa, kesal masih wujud kelemahan tatakelola dalam negara | 

Malaysia Airlines Catat Prestasi Tepat Masa 85.3 Peratus Bagi Penerbangan Domestik -- MOT

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines mencatat prestasi tepat masa (OTP) sebanyak 85.3 peratus setakat Mei 2025 dan diikuti oleh AirAsia pada 84.5 peratus dan Batik Air 73.5 peratus bagi segmen penerbangan domestik.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata pada akhir 2024, Malaysia Airlines mencatat OTP atau keupayaan mengendalikan penerbangan mengikut jadual ditetapkan pada 84.7 peratus manakala AirAsia 67.9 peratus dan Batik Air 73.9 peratus.

Menurutnya, jika terdapat gangguan, syarikat penerbangan dikehendaki mengerah pasukan pengendalian kelewatan penerbangan, mengeluarkan kenyataan media dalam masa 24 jam untuk gangguan penerbangan utama selain menyediakan laporan terperinci kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Kementerian Pengangkutan menerusi CAAM akan menilai semua aduan terhadap syarikat penerbangan dan mengambil tindakan sewajarnya serta diselesaikan seperti ditetapkan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC),” katanya dalam jawapan lisan disiarkan pada laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) mengenai punca utama kelewatan penerbangan yang kian kerap berlaku kebelakangan ini, terutama penerbangan domestik serta langkah segera dan jangka panjang yang diambil kementerian untuk memastikan hak dan kerugian penumpang terus dilindungi.

Data OTP itu telah diterbitkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sejak 2024 untuk syarikat penerbangan tempatan dan tanggungjawab ini telah diteruskan CAAM, selaras dengan dasar ketelusan kerajaan.

Menjelaskan selanjutnya, Kementerian Pengangkutan berkata MACPC juga telah ditambah baik dan diwartakan pada 2 September, 2024 bagi meningkatkan lagi hak perlindungan pengguna.

"MACPC menetapkan kewajipan syarikat penerbangan untuk menawarkan hak kepada pengguna penerbangan yang meliputi kelewatan dan pembatalan penerbangan. 

"Antara penambahbaikan MACPC 2024 adalah menetapkan keperluan bagi syarikat penerbangan menawarkan pilihan bayaran balik dalam bentuk pembayaran asal untuk sebarang kelewatan penerbangan melebihi lima jam, termasuk kelewatan akibat keadaan luar biasa," katanya. 

-- BERNAMA