BERITA TERKINI   MOF akan mengetuai pasukan petugas khas mengenai isu penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial, lambakan barang - Fahmi | KPDN laksanakan kawalan harga ke atas 16 jenis barangan bermula 13 hingga 21 Feb sempena Tahun Baharu Cina - Fahmi | KKR akan umum perincian diskaun tol sempena Tahun Baharu Cina dalam masa terdekat - Fahmi | 

Rizab Antarabangsa BNM Naik Kepada US$121.3 Bilion Pada 31 Julai

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Jumlah rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada US$121.3 bilion (US$1=RM4.218) pada 31 Julai, 2025.

Angka itu lebih tinggi daripada US$120.61 bilion rizab antarabangsa Malaysia yang dicatatkan setakat akhir Jun 2025.

Dalam kenyataannya hari ini, BNM berkata paras rizab pada akhir Julai itu adalah memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan.

Kedudukan rizab itu juga adalah 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.

Menurut BNM, jumlah aset adalah sebanyak RM603.2 bilion dengan emas dan pertukaran asing, termasuk hak pengeluaran khas (SDR) berjumlah RM512.8 bilion.

Komponen utama rizab antarabangsa itu menunjukkan rizab mata wang asing menyumbang bahagian tertinggi pada US$107.7 bilion dan diikuti oleh SDR (US$5.9 bilion), emas (US$4.1 bilion), kedudukan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada US$1.3 bilion manakala aset rizab lain (US$2.3 bilion).

-- BERNAMA