Danau Lumayan Akan Kaji Semula Projek Residensi Supaya Selaras Dengan Konsep MADANI
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Pemaju perumahan, Danau Lumayan Sdn Bhd menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek perumahan berskala besar mematuhi konsep MADANI dengan menyediakan infrastruktur pendidikan.
Pengarah Shahril Reza Shaheen Mirza Habib berkata pihaknya akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan sekolah dalam projek perumahan mampu milik Residensi Aman Lumayan selepas mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan.
“Kita akan berbincang secara lebih teliti dengan Perdana Menteri serta pihak lain termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Kita harap selepas perjumpaan pada Isnin nanti, akan ada gambaran yang lebih jelas mengenai langkah seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas majlis pecah tanah Residensi Aman Lumayan yang disempurnakan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pesona Metro Holdings Bhd Wie Hock Kiong berkata pihaknya bersedia mengkaji semula reka bentuk projek serta menjalankan tinjauan mengikut keperluan yang ditetapkan kerajaan.
“Walaupun projek perumahan mampu milik biasanya kurang menguntungkan, kami percaya saranan Perdana Menteri untuk menyediakan kemudahan sekolah adalah satu nasihat yang baik untuk dilaksanakan.
“Tambahan pula, lokasi projek ini di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, merupakan kawasan yang sudah matang dari segi infrastruktur,” katanya.
Pesona Metro Holdings Bhd merupakan kontraktor ‘turnkey’ bagi projek itu.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapannya menegur pemaju serta pihak perancang bandar supaya memastikan projek perumahan mampu milik turut menyediakan kemudahan prasarana pendidikan seperti prasekolah, tadika dan sekolah bagi mengurangkan kos pengangkutan ibu bapa.
“Jika kemudahan sekolah lengkap disediakan, ia mampu menjimatkan perbelanjaan keluarga yang mungkin mencecah ratusan ringgit sebulan bagi seorang anak untuk ke sekolah,” kata beliau.
Residensi Aman Lumayan meliputi 3,438 unit rumah berkeluasan 900 kaki persegi setiap satu dengan harga RM300,000 seunit dijangka dibuka untuk jualan pada suku keempat tahun ini.
Pembeli akan menikmati pelbagai kemudahan seperti gimnasium, kolam renang, ruang parkir, kamera litar tertutup (CCTV), serta kemudahan ruang bagi 18 unit lot penjaja.
“Dengan menyediakan peluang bagi penjaja, kita harap ia dapat membantu menampung kos penyelenggaraan dan mengurangkan beban penghuni,” kata Shahril Reza.
Projek itu terletak kira-kira 700 meter dari stesen Transit Aliran Massa 3 (MRT3) Sri Permaisuri yang akan dibina.
Berasaskan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM1 bilion, projek tersebut akan dibangunkan menerusi tiga fasa: Fasa 2B (55 tingkat), Fasa 2A (50 tingkat) dan Fasa 1 (40 tingkat).
Ia dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2028 atau awal 2029.
Residensi Aman Lumayan turut merangkumi elemen hijau mampan termasuk penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga elektrik.
-- BERNAMA