BERITA TERKINI   Siling penggunaan BUDI95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan - MOF | BUDI95 kini turut diperluaskan kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak - MOF | KPT setuju beri kemudahan PdP secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar, tenaga pengajar beragama Hindu di seluruh IPTA bermula 16-24 Okt sempena Deepavali | Ringgit berpotensi mengukuh kepada RM4 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun - Gabenor BNM | Maqasid Syariah bermula dengan tadbir urus yang baik - PM Anwar | 

Perjalanan Udara Kelas Premium Antarabangsa Melonjak 11.8 Peratus Pada 2024 - IATA

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melaporkan perjalanan udara kelas premium antarabangsa iaitu kelas perniagaan dan kelas pertama melonjak sebanyak 11.8 peratus pada 2024.

Menerusi laporan terkini World Air Transport Statistics (WATS) badan penerbangan itu melaporkan angka tersebut mengatasi pertumbuhan 11.5 peratus dalam segmen perjalanan kelas ekonomi global. 

Rantau Asia Pasifik mendahului dari segi pertumbuhan peratusan, dengan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 22.8 peratus, mengangkut 21 juta penumpang premium.

“Walaupun pertumbuhannya diatasi bilangan penumpang kelas ekonomi, meningkat 28.6 peratus kepada 500.8 juta, pertumbuhan perjalanan kelas premium mengatasi perjalanan kelas ekonomi di Eropah, Amerika Latin, Timur Tengah dan Amerika Utara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

IATA berkata Eropah kekal sebagai pasaran terbesar untuk perjalanan premium antarabangsa, dengan 39.3 juta penumpang premium, manakala pengembara premium sebagai peratusan daripada semua pengembara adalah tertinggi di Timur Tengah pada 14.7 peratus.

Mengenai pasangan lapangan terbang tersibuk di dunia, persatuan itu berkata Asia Pasifik mendominasi kedudukan, dengan Jeju-Seoul dinamakan laluan paling popular di dunia, mengangkut 13.2 juta penumpang pada 2024.

Sementara itu, IATA berkata, pesawat Boeing dan Airbus adalah yang paling banyak digunakan pada 2024.

"Pesawat Boeing 737 (termasuk semua varian) menerbangkan 10 juta penerbangan dengan 2.4 trilion tempat duduk tersedia bagi kilometer (ASK) pada 2024. Ini diikuti Airbus A320 dengan 7.9 juta penerbangan dan 1.7 trilion ASK, dan Airbus A321 dengan 3.4 juta penerbangan dan 1.1 trilion ASK,” katanya.

IATA berkata Amerika Syarikat kekal sebagai pasaran penerbangan terbesar dunia dengan 876 juta penumpang pada 2024, disokong oleh pasaran domestiknya, yang meningkat 5.2 peratus tahun ke tahun.

China merupakan pasaran penumpang kedua terbesar, dengan 741 juta penumpang, peningkatan 18.7 peratus berbanding 2023.

-- BERNAMA