BERITA TERKINI   Malaysia tetapkan sasaran capai RM100 bilion dalam jualan francais negara menjelang 2030 - Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Jaguh renang negara Khiew Hoe Yean raih pingat emas 400m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 3:50.63s | Thailand akan adakan pilihan raya umum pada 8 Feb - Suruhanjaya Pilihan Raya | Sukan SEA 2025: Kuartet 4x100 meter lelaki negara rangkul perak, pecah rekod kebangsaan dengan catatan baharu 39.03 saat | 

Insentif Pengeluaran Getah Diaktifkan Bagi Julai 2025

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk getah sekerap (cuplump) dan lateks diaktifkan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi Julai 2025, menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Menurut LGM ini berikutan harga purata peringkat ladang bagi getah sekerap pada Julai 2025 adalah RM2.95 sekilogram di Semenanjung Malaysia, RM2.60 sekilogram di Sabah dan RM2.55 sekilogram di Sarawak.

Oleh yang demikian, bayaran IPG getah sekerap di Semenanjung Malaysia adalah RM0.05 sekilogram (50 peratus Kandungan Getah Kering (KGK)/RM0.10 sekilogram (100 peratus KGK) manakala IPG lateks RM0.90 sekilogram (100 peratus KGK).

“Bagi Sabah, bayaran pada kadar RM0.40 sekilogram (50 peratus KGK)/ RM0.80 sekilogram (100 peratus KGK) bagi getah sekerap, manakala RM0.90 sekilogram (100 peratus KGK) bagi lateks.

“Bagi Sarawak pula, kadar IPG sekerap adalah RM0.45 sekilogram (50 peratus KGK)/ RM0.90 sekilogram (100 peratus KGK) manakala IPG lateks adalah RM0.90 sekilogram (100 peratus KGK),” menurut LGM dalam kenyataan hari ini.

LGM memaklumkan kalangan pekebun kecil getah di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak layak menerima bayaran IPG mulai 1 hingga 31 Ogos, 2025 berdasarkan pengeluaran getah pada Julai 2025.

LGM menjelaskan IPG akan teraktif sekiranya harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah sekerap berada di paras RM3.00 sekilogram ke bawah manakala IPG lateks juga akan diaktifkan jika IPG getah sekerap teraktif, tambahnya.

“Kadar IPG lateks ditetapkan pada RM0.90 sekilogram bagi 100 peratus KGK,” jelas LGM.

Menurutnya IPG akan dibayar kepada pekebun kecil getah warganegara Malaysia yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

-- BERNAMA