Peranan Malaysia Capai Gencatan Senjata Kemboja-Thailand Beri Tanggapan Positif Dalam Rundingan Tarif AS - Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) – Peranan Malaysia sebagai perantara dalam rundingan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand menyumbang secara positif kepada rundingan timbal balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Honestly I don’t know, I didn’t ask… but it definitely helps (secara jujurnya saya tidak tahu, saya tidak bertanya...tetapi ia pasti dapat membantu),” katanya menjawab soalan pemberita mengenai impak peranan Malaysia dalam membantu menghentikan sementara konflik sempadan antara kedua negara jiran tersebut.
Tengku Zafrul berkata isu mengenai Kemboja dan Thailand merupakan salah satu perkara yang dibincangkan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ketika berhubung melalui panggilan telefon.
“Salah satu perbincangan antara Perdana Menteri dan Presiden AS adalah mengenai gencatan senjata dan ia memberi gambaran yang baik terhadap peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan pendamai dalam rundingan gencatan senjata tersebut," katanya.
Kedua-dua negara sudah lama bertelingkah berhubung isu kawasan sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamad dan ketegangan memuncak pada 28 Mei lepas apabila pertempuran berhampiran kawasan Preah Vihear (kawasan dipertikai) menyebabkan kematian seorang askar Kemboja.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia turut meminta supaya kadar tarif dikenakan ke atas Malaysia kompetitif dengan negara anggota ASEAN yang lain.
“Kami mahu kadar tarif yang adil di rantau ini...dengan jiran ASEAN kami, secara relatifnya, kami cukup berpuas hati dengan kadar itu.
"Kami berpendapat bahawa kadar 19 peratus adalah adil dan menjejaki kadar negara-negara lain di rantau Asia Tenggara," katanya.
Sementara itu, Malaysia dan AS dijangka mengeluarkan kenyataan bersama mengenai tarif AS sama ada pada Sabtu atau Ahad ini.
-- BERNAMA