BERITA TERKINI   PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

UMS Integration Dibuka Pada RM5.15 Pada Penampilan Sulung Di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Saham UMS Integration Ltd dibuka tinggi pada penampilan sulungnya di Pasaran Utama hari ini, sekali gus menjadikannya syarikat pertama yang disenaraikan di Singapore Exchange (SGX) memperoleh penyenaraian sekunder di Bursa Malaysia.

Saham UMS dibuka pada RM5.15, peningkatan 3.0 peratus daripada harga rujukan pada RM5 sesaham.

Penyenaraian tersebut dilakukan menerusi pengenalan, bukan tawaran awam permulaan (IPO) konvensional, sekali gus tidak melibatkan sebarang aktiviti pengumpulan dana daripada syarikat atau pemegang sahamnya.

Ketua Pegawai Eksekutif UMS Integration Andy Luong berkata syarikat itu berhasrat untuk membuat pelaburan lanjut sebagai sebahagian daripada rancangan lima tahun akan datang.

“UMS Integration sedang bergerak ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi. Kami melihat peluang dalam kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi, iaitu bidang kepakaran kami untuk menghasilkan komponen berketepatan tinggi yang diperlukan,” katanya pada sidang media sempena penyenaraian itu. 

Mengenai rancangan pengembangannya, beliau berkata UMS Integration terbuka untuk menubuhkan ibu pejabat di Malaysia, walaupun belum ada perancangan segera ke arah itu.

“Pada masa ini ibu pejabat kekal di Singapura, namun, jika terdapat kumpulan pelabur yang lebih besar di Malaysia, kami mungkin akan membuat pertimbangan untuk berpindah,” katanya.

Beliau berkata walaupun Malaysia memainkan peranan penting dalam operasi pembuatan UMS Integration, Singapura kekal lebih mudah diakses oleh pelanggan antarabangsa, khususnya syarikat semikonduktor besar dari Amerika Syarikat.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Kewangan kumpulan Stanley Loh berkata tarif baharu Amerika Syarikat (AS) sebanyak 19 peratus ke atas barangan Malaysia berbanding 25 peratus sebelum ini dijangka tidak memberi kesan besar kepada operasi syarikat.

“Memandangkan komponen kami direka khas untuk kegunaan dalaman pelanggan dan bukan untuk dijual semula, sebarang tarif yang dikenakan berkemungkinan akan diserap oleh pelanggan sendiri, dan kami tidak menjangkakan sebarang kesan operasi pada ketika ini,” katanya.

Mengulas prospek syarikat, beliau menjangka pertumbuhan berterusan disokong oleh permintaan terhadap peralatan semikonduktor yang digunakan dalam aplikasi AI.

“AI memerlukan cip berprestasi tinggi, dan ramai pelanggan kami sedang meningkatkan perbelanjaan modal untuk memenuhi keperluan tersebut.

“Sebagai pengeluar kontrak, UMS Integration dijangka meraih manfaat daripada trend ini dan menjangka prestasi yang lebih kukuh tahun ini berbanding tahun lepas, disokong oleh pelaburan berterusan industri dalam peralatan semikonduktor,” katanya.

UMS Integration menghasilkan modul, komponen dan sub-pemasangan untuk syarikat dalam industri semikonduktor, aeroangkasa dan peralatan automasi kilang.

Kilang syarikat itu seluas 300,000 kaki persegi di Pulau Pinang siap pada tahun lepas dengan nilai RM234 juta, manakala kemudahan kedua dijangka siap menjelang 2028.

-- BERNAMA