BERITA TERKINI   Polis belum terima laporan dakwaan Victor Chin berkaitan Ahli Parlimen minta bayaran RM10 juta bagi bantu selesai isu manipulasi korporat - Bukit Aman | Capital A lantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 6 April | Capital A sedang teroka potensi dwipenyenaraian di Hong Kong pada suku ketiga 2026, dan teruskan rancangan untuk senaraikan AirAsia NEXT di Amerika Syarikat menjelang akhir tahun - Tony Fernandes | Capital A sasar keluar daripada status PN17 selepas catat untung empat suku tahunan berturut-turut - Tony Fernandes | Op Viking: Ahli perniagaan Victor Chin antara 10 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram - Polis | 

Thailand Sambut Baik Tarif AS, Anggap Saling Menguntungkan Bagi Kestabilan Dagangan

BANGKOK, 1 Ogos (Bernama) -- Tarif baharu sebanyak 19 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan dari Thailand, berkuat kuasa hari ini, mewakili hasil yang saling menguntungkan bagi mengekalkan asas eksport Thailand dan memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang.

Jurucakap kerajaan Jirayu Huangsap berkata kerajaan Thailand telah berjaya mengadakan rundingan dan memuktamadkan perjanjian tarif import dengan AS.

“Ini menandakan satu lagi pencapaian penting dan mencerminkan pendekatan yang seimbang, bagi melindungi asas eksport Thailand dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman web kerajaan Thailand pada Jumaat.

Beliau berkata kadar baharu itu jauh lebih rendah daripada 36 peratus sebelumnya, dan setanding dengan kadar yang dikenakan ke atas Vietnam, Filipina dan Jepun.

“Kadar yang disemak semula ini membantu mengekalkan daya saing Thailand di dalam ASEAN, kerana beberapa negara telah memeterai perjanjian yang sama dengan AS,” katanya.

Jirayu berkata keputusan itu menunjukkan kemampuan Thailand untuk menempatkan negara itu dalam perdagangan global di tengah-tengah peralihan berterusan dasar perdagangan antarabangsa.

Mengikut perintah presiden yang dikeluarkan oleh Rumah Putih pada 31 Julai, Thailand dan empat lagi negara anggota ASEAN - Malaysia, Kemboja, Filipina dan Indonesia - akan dikenakan kadar tarif yang sama iaitu 19 peratus, berkuat kuasa 1 Ogos.

Kadar baharu itu menggantikan tarif 36 peratus yang diumumkan pada April, menjadikan kadar tarif Thailand seiring dengan ekonomi serantau.

AS merupakan pasaran eksport terbesar bagi barangan Thailand tahun lepas, menyumbang lebih 18 peratus daripada jumlah penghantaran, dianggarkan berjumlah US$54.96 bilion.

Eksport utama Thailand ke AS pada 2024 termasuk komputer, teleprinter dan set telefon serta produk getah. Import utamanya dari AS ialah minyak mentah, mesin dan alat ganti serta bahan kimia.

-- BERNAMA