BERITA TERKINI   Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | Krisis tenaga global: KTMB tawar diskaun 30 peratus tiket ETS bagi semua sektor dan tren Ekspres Rakyat Timuran laluan JB Sentral–Tumpat–JB Sentral -- Loke   | Keselamatan tenaga bukan lagi satu pilihan. Ia menjadi keutamaan strategik negara susulan situasi di Selat Hormuz - Fadillah Yusof | 

FMM Gesa ASEAN Perkukuh Perdagangan, Integrasi Serantau

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa ASEAN menggiatkan usaha untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pengeluaran intraASEAN.

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata terdapat keperluan untuk meningkatkan pengiktirafan bersama terhadap piawaian, menyelaraskan platform kastam digital serta menambah baik keselarasan kawal selia antara negara anggota.

Beliau berkata perdagangan intraASEAN pada masa ini menyumbang kira-kira 22 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN berbanding kira-kira 60 peratus di Kesatuan Eropah.

“Menamatkan jurang ini penting untuk memanfaatkan potensi sepenuhnya ekonomi ASEAN dan membina daya tahan rantaian bekalan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soh berkata FMM kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan serantau bagi mencapai matlamat ini dan memastikan ASEAN menjadi rantau ekonomi yang lebih bersepadu, stabil dan berdaya saing.

Dalam pada itu, FMM turut memuji kejayaan usaha rundingan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja.

Soh berkata penglibatan tegas oleh Perdana Menteri menyerlahkan peranan Malaysia yang semakin berkembang dalam membentuk ASEAN yang lebih padu dan stabil.

“Pencapaian cemerlang diplomatik yang penting ini bukan sahaja berjaya mengelakkan peningkatan konflik serantau, malah mengukuhkan lagi kemampuan ASEAN untuk bertindak secara kolektif dalam menyelesaikan isu geopolitik yang kompleks melalui dialog dan kepimpinan yang pragmatik,” katanya.

-- BERNAMA