Operasi Jet Firefly Berpindah Ke KLIA Berkuat Kuasa 19 Ogos Depan

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Firefly akan memindahkan operasi jetnya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berkuat kuasa 19 Ogos, 2025.

Malaysia Aviation Group (MAG) berkata syarikat penerbangan itu akan terus mengendalikan perkhidmatan turboprop dari SZB juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang untuk memastikan ketersambungan berterusan ke destinasi serantau utama.

MAG adalah syarikat induk Firefly.

“Firefly akan memulakan perkhidmatan jet dari KLIA mulai 19 Ogos ini dengan penerbangan pertamanya ke Tawau, diikuti dengan pelancaran berperingkat ke destinasi domestik dan serantau utama.

“Penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu akan bermula pada (21 Ogos); Singapura (22 Ogos); Johor (23 Ogos); Kota Bharu dan Terengganu (30 Ogos) dan Sibu pada 3 September,” katanya.

Syarikat penerbangan itu juga akan menambah perkhidmatan sedia ada dari KLIA ke Pulau Pinang daripada dua kali seminggu kepada enam kali seminggu mulai 23 Ogos depan dan menaikkannya kepada 10 kali seminggu pada November 2025.

Kumpulan itu berkata penumpang yang terjejas akibat perubahan itu akan dihubungi terus dengan pilihan untuk pengaturan perjalanan alternatif atau bayaran balik penuh disediakan seiring dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016.

"Langkah strategik ini adalah sebahagian daripada rancangan pengoptimuman rangkaian jangka panjang MAG untuk meningkatkan kecekapan operasi dan memastikan operasi mampan untuk perkhidmatan jet Firefly," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail berkata perpindahan ke KLIA membolehkan Firefly menambah baik operasi jet dengan lebih cekap, meningkatkan ketersambungan penumpang dan memanfaatkan keupayaan bersama MAG dalam kejuruteraan, pengendalian darat dan katering dengan lebih baik.

“SZB akan terus memainkan peranan penting dalam rangkaian Firefly melalui operasi turboprop yang menyediakan ketersambungan penting merentasi laluan utama domestik dan serantau,” katanya.

Beliau berkata keputusan itu mengukuhkan komitmen MAG untuk memperkasa KLIA sebagai hab penerbangan utama, pada masa sama terus menawarkan pilihan perjalanan udara boleh diakses di seluruh negara.

-- BERNAMA