Untung Bersih DXN Susut Bagi Suku Pertama Susulan Kerugian Tukaran Asing
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Keuntungan bersih DXN Holdings Bhd (DXN) menyusut 13.6 peratus kepada RM73.91 juta pada suku pertama berakhir 31 Mei, 2025 (S1 TK2026) daripada RM85.56 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas susulan kerugian pertukaran asing (forex) yang didorong oleh pengukuhan ringgit.
Bagaimanapun, pengeluar produk kesihatan dan kesejahteraan pengguna itu berkata perolehan meningkat 0.8 peratus kepada RM479.06 juta berbanding RM475.05 juta sebelumnya.
“Pertumbuhan sederhana ini didorong terutamanya oleh pengembangan jualan berterusan dalam mata wang tempatan, yang sebahagiannya diimbangi oleh kesan terjemahan mata wang yang tidak menggalakkan akibat penurunan nilai pasaran mata wang luar negara berbanding ringgit,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
DXN berkata lembaga pengarah telah mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 0.9 sen sesaham bagi S1 TK2026, melibatkan pembayaran sebanyak RM44.75 juta, yang akan dibayar pada 29 Ogos 2025. Ia mewakili nisbah pembayaran sebanyak 60.5 peratus.
Dalam satu kenyataan berasingan, DXN berkata kumpulan itu kekal yakin dengan prospek TK2026 walaupun keadaan turun naik forex dan masalah makroekonomi yang lebih meluas.
“DXN telah melabur dalam kapasiti perkilangan baharu di Peru dan Maghribi, selain di Kedah serta Kelantan. Perkembangan ini akan membolehkan tindak balas pasaran yang lebih pantas, mengurangkan kerumitan logistik dan menyokong pengeluaran setempat yang lebih mampan.
“Ia merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang DXN bagi mengukuhkan rangkaian bekalan globalnya sambil meningkatkan kecekapan kedua-dua kos dan karbon,” katanya.
-- BERNAMA