BERITA TERKINI   Bursa sasar permodalan pasaran IPO RM28 bilion tahun ini daripada RM27.4 bilion pada 2025 dengan tumpuan kepada penyenaraian yang lebih besar dan berkualiti tinggi - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia | Kerajaan sedang gubal Akta Keterjaminan Makanan Negara, asas perundangan kukuh pelihara kedaulatan makanan - TPM Fadillah | Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 pacu transformasi sektor agromakanan negara - TPM Fadillah | RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | 

Peluasan Jeti Bernilai RM140 Juta Perkukuh Peranan Serantau Johor Port

PASIR GUDANG, 29 Julai (Bernama) -- Johor Port Bhd telah menyiapkan peluasan kemudahan jeti cecair bernilai RM140 juta untuk meningkatkan kapasiti dan memperkukuh kedudukan Pelabuhan Johor sebagai hab pukal cecair utama di Asia Tenggara.

Dalam kenyataan pada Selasa, Johor Port menjelaskan projek itu, yang bermula pada 2 Okt, 2023, meliputi pembinaan dua jeti baharu yang direka untuk memenuhi keperluan kapal sehingga berat mati 120,000 tan (DWT), meningkatkan kapasiti pengendalian kargo cecair tahunan dengan tambahan lima juta tan.

Pelabuhan itu mencatatkan 14.5 juta tan kargo cecair pada 2022, hampir kepada kapasiti pengendalian semasanya sebanyak 15 juta tan.

Pengerusi Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata pembangunan itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan operasi pihaknya malah juga mengukuhkan keupayaan Johor Port untuk menyokong rakan utama.

“Usaha ini meletakkan Pelabuhan Johor sebagai pintu masuk maritim sedia masa depan, selaras dengan aspirasi Johor dan negara untuk menaik taraf infrastruktur pelabuhan ke tahap piawaian global,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Md Derick Basir berkata penambahbaikan itu mengukuhkan lagi peranan Pelabuhan Johor sebagai pintu masuk maritim berdaya tahan dan berpandangan jauh yang penting untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Johor dan rantau ini.

Kemudahan baharu yang terletak di hujung timur jeti BT6 dan BT8 itu merangkumi bilik operasi khas, sistem pemantauan menerusi CCTV bersepadu, sistem pemadaman kebakaran, infrastruktur untuk kargo Kelas 3 dan kebolehsuaian bagi keperluan Kelas 1.

Ciri tambahan termasuk liputan Wi-Fi sepenuhnya, kawasan peletakan alat pengendali tumpahan minyak, pencahayaan malam yang ditambah baik, rak paip 25 saluran, dan platform pemuatan moden dengan perangkap minyak, pancuran kecemasan serta kren marin.

Projek itu telah disiapkan pada suku kedua 2025 dan mematuhi piawaian kesihatan, keselamatan dan alam sekitar yang ditetapkan oleh Johor Port dan Jabatan Laut Malaysia.

“Pencapaian infrastruktur itu mengukuhkan komitmen Johor Port terhadap kecemerlangan operasi, keselamatan dan inovasi berterusan, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai Pelabuhan Pelbagai Guna Pintu Selatan,” tambah syarikat itu.

-- BERNAMA