BERITA TERKINI   Bakar suar: Sultan Selangor zahir rasa amat dukacita insiden babitkan penyokong Selangor FC - Istana Alam Shah | Bakar suar: Sultan Selangor mahu polis cari dalang, harus dikenakan hukuman maksimum jika bersalah - Istana Alam Shah | Polis temukan enam rangka manusia, termasuk lima sekeluarga, di rumah terbiar yang terbakar di Kangkar Pulai bulan lepas - Ketua Polis Johor | Pulau Pinang salur bantuan i-Sejahtera fasa 1/2026 mulai 7 Feb kepada 281,135 penerima, libatkan RM50.93 juta - Chow | Pulau Pinang tetapkan kadar zakat fitrah tahun ini kepada tiga kategori, RM10, RM15 dan RM25 - YDP Majlis Agama Islam Negeri | 

MITI Sedia Kaji Insentif Bagi Pelabur KRC Guna Pelabuhan Di Pulau Pinang, Kuala Perlis

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersedia meneliti cadangan pemberian insentif kepada pelabur yang mengoptimumkan penggunaan pelabuhan tempatan, khususnya di Pulau Pinang dan Kuala Perlis.

Timbalan Menteri Liew Chin Tong berkata ini sebagai galakan kepada pelabur untuk merancakkan penggunaan pelabuhan, terutama bagi pelabur di sekitar Kedah Rubber City (KRC).

“MITI bersedia mengkaji dan memberi cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk memberi insentif atau pelbagai cara meningkatkan pelabuhan-pelabuhan tempatan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai usaha kementerian untuk menggalakkan pelabur menggunakan pelabuhan domestik, sama ada bagi membawa masuk jentera dan bahan binaan semasa pembinaan kilang atau mengeksport produk keluaran mereka ke pasaran luar negara apabila kilang beroperasi kelak.

KRC yang terletak di Kuala Nerang, Kedah, merupakan salah satu projek utama Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang menumpukan industri berasaskan getah dan dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi kawasan utara.

Menjawab soalan asal mengenai cadangan kerjasama dengan Thailand bagi penggunaan Pelabuhan Songkhla untuk kemudahan urusan melalui pintu masuk Durian Burung oleh pelabur KRC, Liew berkata kerajaan ketika ini lebih menumpukan usaha pengoptimuman pelabuhan tempatan, khususnya di Pulau Pinang dan Kuala Perlis.

“Langkah ini juga sejajar dengan strategi kerajaan untuk memperkukuh daya saing pelabuhan-pelabuhan dalam negara, di samping memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati sepenuhnya oleh penggiat industri dan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga kekal komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Thailand melalui platform sedia ada seperti Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Perdagangan Malaysia- Thailand (JTC).

“Kedua-dua pihak dalam hal ini, telah bersetuju untuk mempertingkat kemudahan perdagangan, termasuk melalui penambahbaikan infrastruktur, sistem logistik dan prosedur di pintu sempadan.

“Langkah ini dijangka dapat mempercepat proses pelepasan kastam serta mengurangkan masa dan kos penghantaran barangan rentas sempadan,” katanya.

-- BERNAMA