BERITA TERKINI   Penghargaan ikhlas kepada Perdana Menteri Anwar, Kerajaan China dan Presiden Trump di atas keprihatinan dan pandangan bernas anda.- Pemangku PM Thailand | Penyelesaian yang diumumkan akan menetapkan satu keadaan untuk bergerak ke hadapan, dan sebagai sebuah asas untuk mengendurkan ketegangan di masa hadapan. - PM Kemboja | Hun Manet berterima kasih kepada PM Anwar kerana menjadi tuan rumah kepada "mesyuarat penting ini dan tepat pada masanya", selain daripada inisiatif peribadinya untuk mengantara gencatan senjata serta-merta. | Kemboja dan Thailand mencapai persefahaman bersama, bersetuju dengan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat berkuat kuasa dari pukul 24:00 (waktu tempatan) pada 28 Julai, 2025. - PM Anwar | Thailand, Kemboja setuju untuk gencatan senjata - PM Anwar | 

Misi Perdagangan Luar Negara Berhasil, Dua Syarikat Asing Mula Projek Pelaburan di Malaysia

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Dua projek pelaburan asing yang diumumkan semasa misi perdagangan dan pelaburan kerajaan ke luar negara kini telah mula dilaksanakan sekali gus menepis dakwaan bahawa tiada hasil diperoleh daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Gul Technologies iaitu syarikat yang diumumkan semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan ke China pada 2024, kini sedang membina kilang di Kulim, Kedah melibatkan pelaburan berjumlah RM350 juta bagi fasa satu. 

Menurutnya projek berkenaan dijangka mewujudkan 350 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

"Lebih menarik lagi, syarikat ini sedang menjalinkan kerjasama dengan Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd, anak syarikat kepada Kulim Hi-Tech Park Corporation Sdn Bhd yang berperanan melatih bakat muda. 

"Melalui kerjasama ini, syarikat akan menggaji 100 juruteknik tempatan yang bakal dihantar ke China untuk menjalani latihan," kata Tengku Zafrul melalui hantaran di platform X hari ini. 

Beliau berkata satu lagi syarikat yang diumumkan potensinya semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan ke luar negara ialah EDA yang telah melabur sehingga RM100 juta di Jasin, Melaka.

"EDA ini adalah projek yang potensinya diumumkan semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Itali pada 2024. EDA juga mempunyai 150 vendor daripada kalangan syarikat tempatan. 

"Ini bermakna EDA bukan sahaja mewujudkan pekerjaan di fasiliti mereka, malah menyokong pekerja Malaysia di 150 syarikat tempatan," katanya. 

Kedua-dua projek ini adalah antara 2,198 projek perkilangan yang telah diluluskan sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI daripada 2023 hingga suku pertama 2025. 

Tengku Zafrul  berkata daripada jumlah itu sebanyak 1,849 projek atau 84.2 peratus telah dilaksanakan sehingga Julai 2025.

"Insya-Allah saya akan kongsi lagi pelaksanaan pelaburan yang diluluskan dari semasa ke semasa. Daripada potensi, kita jadikan realiti," kata beliau.

-- BERNAMA