BERITA TERKINI   GRS akan terus sokong Kerajaan MADANI, banyak tuntutan Sabah dalam MA63 dilulus dan direalisasikan - Hajiji | Semua MRSM diisytiharkan cuti esok sempena kejayaan juarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025 - Pengerusi MARA | PM Anwar akan lakukan lawatan kerja dua hari ke Indonesia, mulai 28 Julai bagi menghadiri Rundingan Tahunan ke-13 dengan Presiden Prabowo Subianto - Duta Besar Malaysia ke Indonesia | 

PKPS Eksport Minyak Bunga Matahari, Marjerin Ke Australia Bulan Depan - Exco

SHAH ALAM, 25 Julai (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan mengeksport minyak masak, minyak bunga matahari dan marjerin ke pasaran luar negara bermula bulan depan, kata Exco Pertanian dan Infrastruktur negeri Datuk Izham Hashim. 

Beliau berkata inisiatif itu yang dilaksanakan PKPS dengan kerjasama Agro 19 Bhd akan mula dipasarkan ke Australia dalam masa dua minggu lagi sekali gus mampu memberikan pendapatan baharu kepada agensi kerajaan negeri itu. 

“Kesemua produk ini dihasilkan secara tempatan dan eksport akan bermula dengan dua kontena dahulu, iaitu kira-kira 30 tan di bawah jenama Ehsan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Produk Sejuk Beku Jenama Ehsan di sini hari ini. 

Izham berkata pihaknya juga menyasarkan supaya lebih banyak produk dihasilkan oleh PKPS untuk menembusi pasaran luar negara. 

Katanya kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha pengembangan sektor pertanian Selangor dalam menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan selain mendukung aspirasi negara membabitkan keterjaminan makanan. 

“Kita akan lihat dalam seluruh rantaian bekalan makanan mengenai cara boleh bantu sama ada dengan bantuan peruntukan daripada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan dengan PKPS sebagai pelaksana,” katanya.

-- BERNAMA