ASEAN Perlu Percepat Integrasi Susulan Cabaran Dagangan Global -- Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- ASEAN perlu melangkah maju bersama dan bertindak mempercepatkan usaha integrasinya bagi mengurangkan pertikaian perdagangan dalam kalangan anggotanya di tengah-tengah ketidakentuan perdagangan global, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tegas beliau, ASEAN yang bersatu dan berpendirian jelas dengan piawaian yang sejajar serta mempertahankan kepentingan bersama ketika dunia menempuh persekitaran perdagangan global mencabar, akan bangkit sebagai blok yang jauh lebih berdaya tahan serta berpengaruh.

“Landskap operasi global tidak lagi seperti sebelumnya. Ini hanya menegaskan lagi mengapa ASEAN perlu melangkah bersama kerana ASEAN yang berpecah-belah sebaliknya akan menjadikan kita semua lemah.

“Sehubungan itu, kita perlu mempercepatkan lagi integrasi di peringkat dalaman, kurangkan pertikaian perdagangan, menyelaraskan piawaian dan merangka sistem berpandukan peraturan yang menghubungkan pasaran dan melindungi rantaian bekalan kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis makan malam Persidangan dan Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN 2025 di sini, malam ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul juga mengingatkan bahawa pemacu sebenar sentimen keyakinan perniagaan dan komersial dalam setiap negara adalah bertunjangkan usaha tadbir urus korporat dan kelestarian yang dilaksanakan oleh syarikat.

“Pelabur yang melihat ASEAN tidak hanya berdasarkan angka pertumbuhan, tetapi juga isu tadbir urus, kedaulatan undang-undang serta pendedahan berkaitan iklim selain kemungkinan piawaian tenaga kerja.

“Mereka akan membandingkan bagaimana syarikat-syarikat menguruskan risiko, menegakkan etika serta layanan terhadap pihak berkepentingan. Inilah bidang yang harus kita terajui, bukan sebagai penggubal dasar atau syarikat dalam negara secara individu, tetapi sebagai satu rantau yang secara kolektif menghargai integriti, ketelusan serta kestabilan jangka panjang,” katanya.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata tadbir urus korporat dan kelestarian tidak lagi dianggap sebagai sekadar usaha memenuhi syarat, tetapi pemacu strategik bagi kepercayaan, reputasi, pengurusan risiko dan inisiatif pengumpulan modal.

Pada masa sama, tadbir urus dan kelestarian menjadi keutamaan strategik yang membentuk keyakinan terhadap institusi sesebuah negara, membolehkan kemakmuran secara saksama dan “mentakrif nilai-nilai kita sebagai sebuah rantau.”

“Justeru, atas alasan ini, tadbir urus perlu menjadi keutamaan bagi menjadikan ASEAN kelas aset yang berdaya saing serta pilihan pelaburan.

“Dalam senario ketidaktentuan global, aspek itu menjadi panduan bagi ASEAN untuk bangkit dengan matlamat dan kesatuan yang lebih hebat,” katanya.

-- BERNAMA