BERITA TERKINI   Pelaku jenayah dalam kawasan sekolah akan dihadapkan ke muka pengadilan - Saifuddin Nasution | PDRM jamin siasatan telus, profesional insiden jenayah dalam kawasan sekolah - Saifuddin Nasution | Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor berjaya tarik minat 104 pelabur berpotensi dengan anggaran pelaburan berjumlah RM29.51 bilion setakat ini - PM Anwar | JS-SEZ terus tunjuk momentum luar biasa tarik pelaburan strategik antarabangsa, catat pelaburan diluluskan cecah RM37 bilion pada separuh pertama tahun ini - PM Anwar | Sindiket pengedaran dadah tumpas, rampasan bernilai RM5.33 juta - Ketua Polis Johor | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Khamis, berikutan sentimen pasaran percaya ketegangan perdagangan semakin mereda, kata seorang penganalisis.  

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata perjanjian dagangan Amerika Syarikat (AS)-Jepun baru-baru ini, serta isyarat bahawa perjanjian antara AS dan Kesatuan Eropah (EU) hampir dimuktamadkan, menunjukkan bahawa ancaman perang perdagangan semakin berkurangan.

"Peniaga mula menyedari bahawa kebimbangan yang sebelum ini mendorong lonjakan harga emas semakin reda. Ketegangan perdagangan yang kian mereda mengurangkan ketidaktentuan dalam pasaran.

"Dalam suasana ketika Presiden AS, Donald Trump, lebih cenderung memeterai perjanjian rundingan berbanding mencetuskan konflik, emas kehilangan satu daripada sokongan utamanya, iaitu peranan sebagai aset lindung nilai dalam waktu krisis," katanya.

Innes turut berkata harga emas merosot walaupun prestasi dolar AS lemah. 

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai 2025 susut kepada US$3,366.8 setiap auns troy daripada US$3,442.2 setiap auns troy pada Rabu, Ogos 2025 merosot kepada US$3,385.1 setiap auns troy daripada US$3,460.5 dan September 2025 turun kepada US$3,391.0 setiap auns troy daripada US$3,466.4.

Kontrak Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2025 masing-masing ditutup rendah pada 

US$3,420.3 setiap auns troy daripada US$3,495.6 sebelum itu.

Jumlah dagangan naik kepada 31 lot daripada 30 lot, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 74 kontrak daripada 58.

Harga emas fizikal berada pada US$3,430.15 setiap auns troy berdasarkan penetapan harga London Bullion Market Association pada 23 Julai, 2025.

-- BERNAMA