BERITA TERKINI   Penerbitan bon lestari dijangka meningkat susulan pertumbuhan pesat pusat data – Moody’s Ratings | Peralihan MyBorderPass dan MyDigitalID kepada sistem MyNIISe akan diperluas secara berperingkat di pintu masuk negara bermula tahun ini - Saifuddin Nasution | Pendaftaran murid Tahun 1 bagi sesi 2027 dilaksana secara dalam talian bermula 15 Feb hingga 31 Mac - KP Pendidikan | Pimpinan tinggi agensi penguatkuasaan diberi tempoh seminggu nyata kesediaan pikul amanah atau tukar ke jawatan lain - PM Anwar | PM Anwar beri amaran keras kepada pihak berkuasa, kesal masih wujud kelemahan tatakelola dalam negara | 

Anak Syarikat MMAG Beli Pesawat Kargo Boeing 737-800BCF Pada Harga US$25.9 Juta

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- MMAG Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, MMAG SkyAssets Ltd telah memeterai perjanjian bersyarat jual beli pesawat untuk membeli sebuah pesawat kargo Boeing 737-800BCF pada harga tunai US$25.9 juta (RM109.85 juta).

MMAG berkata perjanjian itu telah ditandatangani pada 23 Julai dengan GASL Ireland Leasing A-1 Ltd (GASL) bagi pembelian pesawat yang mempunyai nombor siri pengeluar 29670.

Syarikat itu berkata pesawat berkenaan yang dikeluarkan pada 2005, kini dikendalikan oleh MJets dan digunakan untuk penghantaran kargo di bawah perjanjian pajakan dengan GASL.

“Nilai pertimbangan pembelian dibuat atas dasar kedua-dua pembeli dan penjual saling bersetuju," kata syarikat itu dalam makluman kepada bursa saham. 

Menurut MMAG, pembayaran akan dibuat secara berperingkat termasuk deposit pendahuluan sebanyak US$12.5 juta, diikuti dengan bayaran ansuran secara bulanan dan bayaran akhir pada tarikh penyerahan yang dijadualkan pada suku keempat 2026.

“Pembelian dijangka dibiayai melalui gabungan dana dalaman yang dijana sendiri, pinjaman bank dan/atau alternatif pembiayaan lain,” katanya.

MMAG berkata perjanjian itu masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa yang akan datang dan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan dan pengawal selia lain yang berkaitan.

“Selepas mempertimbangkan semua aspek cadangan pengambilalihan, termasuk terma utama perjanjian jual beli, rasionalnya, kesan potensi, kedudukan kewangan semasa dan masa depan kumpulan, serta prospek industri penerbangan, lembaga pengarah berpendapat pembelian ini adalah demi kepentingan terbaik untuk syarikat,” katanya.

-- BERNAMA