Untung Bersih Tahun Kewangan 2025 KIP REIT Lebih Dua Kali Ganda Kepada RM115.14 Juta

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) mencatat keuntungan bersih RM115.14 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, lebih dua kali ganda berbanding RM47.31 juta pada 2024, disokong pendapatan sewaan yang kukuh, peluasan portfolio dan peningkatan nilai saksama.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya perolehan bagi 2025 meningkat kepada RM136.13 juta daripada RM102.16 juta sebelum ini, didorong oleh sumbangan yang stabil daripada KIPMall, D’Pulze Shopping Centre, TF Value-Mart dan aset industri.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2025, KIP REIT mencatat keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM79.25 juta, meningkat daripada RM16.05 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

KIP REIT berkata peningkatan itu disumbangkan terutamanya daripada pendapatan sewaan yang lebih kukuh daripada gabungan hasil sewa yang lebih baik, lebih banyak ruang disewa serta sumbangan daripada aset baru dibeli.

Perolehan suku tahunan menokok kepada RM39.89 juta daripada RM32.64 juta sebelumnya, disokong oleh pendapatan sewaan yang stabil di seluruh portfolio hartanah terutamanya di Cheras Jaya.

Dalam kenyataan berasingan, KIP REIT berkata ia mencatat lebihan penilaian semula sebanyak RM61.8 juta daripada penilaian nilai saksama tahunan terhadap 14 hartanah pelaburan setakat 30 Jun 2025, yang dijalankan oleh Rahim & Co selaras dengan Garis Panduan REIT Tersenarai oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Peningkatan ini mencerminkan peningkatan nilai di seluruh portfolio terutamanya daripada aset baru dibeli seperti D’Pulze Shopping Centre, TF Value-Mart dan hartanah industri di Cheras Jaya serta KIPMall yang telah lama beroperasi seperti Kota Warisan, Masai dan Tampoi, yang mencatat kenaikan nilai saksama dua digit,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KIP Reit Valerie Ong berkata prestasi tahun kewangan 2025 menunjukkan hasil strategi pertumbuhan kumpulan dan tumpuan kepada pulangan jangka panjang yang stabil.

“Kami juga bersemangat dengan sokongan padu daripada pemegang unit kami, dengan 99.96 peratus bersetuju dengan fasa pertumbuhan seterusnya bagi KIP REIT, yang terdiri daripada pembelian empat aset runcit di lokasi strategik dan tawaran saham persendirian untuk membiayai cadangan pembelian dan kos penambahbaikan aset bagi KIPMall Tampoi.

“Aset baharu ini dijangka menyumbang pendapatan berulang yang bermakna dan mengembangkan operasi kami dalam pasaran pinggir bandar yang berkembang pesat, meningkatkan lagi kebolehlihatan pendapatan dan daya tahan portfolio,” katanya.

Beliau berkata langkah penilaian semula tahunan itu telah memperkukuh asas aset kumpulan dan akan membantu mengurangkan nisbah tahap kadar hutang, menyediakan lebih ruang untuk membeli aset baharu dan peluang untuk menambah nilai.

-- BERNAMA