BERITA TERKINI   Lembaga Disiplin JPA akan bermesyuarat berhubung hasil laporan siasatan isu pemilikan saham KP SPRM dalam masa terdekat - KSN | Kenaikan gred pembantu tadbir Gred 1 kepada Gred 5 dilaksana secara berperingkat, ambil kira pelbagai syarat kelayakan - KSN | Harga minyak mentah Brent turun kepada US$94.22 setong hari ini berbanding paras tertinggi semalam pada US$118.60 setong | Konflik Asia Barat: KPDN tingkat pemantauan risiko penyeludupan bahan api di sempadan negara - Armizan | Skim Harga Maksimum Musim Perayaan berkuat kuasa 14-28 Mac, libatkan 27 jenis barangan - Armizan | 

Pasaran Getah Ditutup Lebih Tinggi, Menjejaki Aliran Meningkat Niaga Hadapan Serantau

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih tinggi pada Khamis, didorong oleh aliran meningkat dalam pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan kebimbangan terhadap bekalan getah, kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran dirangsang oleh kenaikan harga minyak mentah di tengah-tengah rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang positif.

“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS,” kata peniaga kepada Bernama.

Pada 8.07 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2140/2320 berbanding dolar AS daripada 4.2255/2300 ketika ditutup pada Rabu.

Peniaga itu juga berkata agensi meteorologi Thailand mengeluarkan amaran hujan lebat dan menjangkakan ia mungkin mengakibatkan limpahan serta banjir kilat pada 24 Julai, 2025. 

“Niaga hadapan getah Jepun berusaha mengurangkan kerugian awal, disokong oleh kebimbangan terhadap cuaca buruk yang memberi kesan kepada perladangan di Asia Tenggara dan permintaan yang kukuh di China,” katanya.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 16 sen kepada 746.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal menambah 6.5 sen kepada 579 sen sekilogram.

-- BERNAMA