BERITA TERKINI   Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis KL-Kepong Oleomas di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | Dua kapal dalam perjalanan pulang dari Selat Hormuz, satu dijangka tiba 17 April dan satu lagi minggu berikutnya - Fahmi | MCMC kenal pasti 441 kandungan palsu berhubung krisis tenaga global berdasarkan aduan awam, 54 kertas siasatan dibuka - Fahmi | Isu krisis tenaga global, permeteraian MoU dijangka dalam lawatan rasmi PM Australia Anthony Albanese ke Malaysia esok - Fahmi | 

Bosch Lantik Darren Chan Sebagai Pengarah Urusan Bagi Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Bosch melantik Darren Chan Chon Hoe sebagai Pengarah Urusan Bosch Malaysia berkuat kuasa 1 Julai, 2025, sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama memegang jawatan itu.

Jawatan baharu itu adalah tambahan kepada tanggungjawab sedia ada Chan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Bosch Rexroth Malaysia, serta Ketua Teknologi Serantau untuk hidraulik industri bagi Bosch Rexroth ASEAN.

Menurut kenyataan pada Khamis, Bosch menjelaskan Chan menggantikan Presiden Serantau Bosch di Asia Tenggara, Vijay Ratnaparkhe, yang berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Interim sejak 11 bulan lepas.

“Susulan pelantikan ini, Ratnaparkhe akan kembali menyambung tanggungjawab serantau beliau sepenuhnya,” tambah Bosch.

Chan mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam automasi perindustrian, dan pernah memegang jawatan kepimpinan di seluruh Asia Tenggara dalam sektor seperti elektronik, semikonduktor, automotif dan industri am.

Beliau gembira atas pelantikan tersebut dan menganggapnya sebagai peluang untuk menyumbang secara bermakna kepada pembangunan Malaysia.

“Usaha menggabungkan operasi dan kehadiran Bosch selama lebih satu abad di Malaysia dengan 3,700 rakan sekutu di seluruh negara serta pengalaman saya, saya mahu memperkukuh kerjasama awam-swasta dan memajukan pembangunan bakat secara berterusan, yang menjadi faktor penting untuk meningkatkan pendapatan negara kasar per kapita,” katanya.

Chan berkata kehadiran global Bosch, dengan kira-kira 490 anak syarikat di lebih 60 negara, membolehkan pihaknya menggabungkan pengalaman global dengan pemahaman tempatan.

-- BERNAMA