BERITA TERKINI   Bangunan warisan mesti terus hidup sebagai ruang mendidik, menyatukan dan beri inspirasi untuk generasi masa hadapan - PM Anwar | 3,164 sekolah diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid setakat November tahun lepas - Timbalan Menteri Pendidikan | Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad pastikan sejarah terus hidup, difahami dan jadi pedoman hadapi cabaran masa depan - PM Anwar | Agong berkenan sempurnakan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad Fasa 1 | Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera baharu berkuat kuasa 1 Feb - Mohamed Khaled | 

Kerajaan Akan Pastikan Pelaksanaan Tokenisasi, Aset Digital Bersifat Inklusif - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan terus memastikan pelaksanaan tokenisasi dan aset digital bersifat inklusif.

Dalam satu hantaran di platform media sosial X malam ini, beliau berkata pelaksanaan berkenaan akan turut memberikan manfaat yang menyeluruh kepada rakyat serta dikawal selia secara ketat bagi menjamin keselamatan dan kestabilan ekosistem digital negara.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan Bilangan 2 Tahun 2025, yang antara lain memberi tumpuan kepada masa depan aset digital dalam pasaran modal negara. 

"Antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan perkembangan teknologi blockchain, tokenisasi, kriptografi pasca kuantum dan pelancaran Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI) yang menjadi pemacu utama ekosistem digital negara.

"Mesyuarat ini juga turut menjadi medan bertukar-tukar pandangan terkait trend pasaran global, potensi aset digital serta jangkaan prestasi masa hadapan berdasarkan perspektif teknikal daripada rakan strategik," kata beliau lagi.

Pada 6 Mei, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengeluarkan kertas perundingan bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai cadangan rangka kerja untuk produk pasaran modal yang ditokenkan.

Kertas perundingan itu antara lain untuk mendapatkan maklum balas mengenai bidang-bidang utama termasuk kawalan tadbir urus, keperluan rekod dan pendaftaran, pengurusan risiko teknologi serta keperluan tambahan untuk individu berlesen yang berurusan dalam produk pasaran modal token.

-- BERNAMA