BERITA TERKINI   Kerajaan bakal umum beberapa langkah proaktif esok untuk pastikan industri semikonduktor negara terus berdaya saing - PM Anwar | Kementerian Pertahanan akan bangunkan sistem pemantau kontrak, elak kelewatan perolehan aset - Adly | 

Pelaburan Pusat Data Mulai 2021 Hingga Mac 2025 RM144.4 Bilion - MITI

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Sebanyak 25 projek pelaburan pusat data diluluskan insentif Pecutan Ekosistem Digital (Desac) sepanjang tempoh 2021 sehingga 31 Mac 2025 dengan pelaburan berjumlah RM144.4 bilion, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurut kementerian, antara kesan limpahan ekonomi industri pusat data secara langsung adalah pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan ini dijangka mewujudkan sebanyak 1,429 pekerjaan baharu, dengan kepakaran khusus seperti jurutera dan saintis data, penganalisa data raya, jurutera keselamatan siber dan jurutera teknologi maklumat, katanya.

“Lebih 50 peratus daripada jumlah berkenaan merupakan pekerjaan berpendapatan tinggi, dengan gaji melebihi RM5,000," katanya dalam jawapan lisan di laman sesawang Parlimen hari ini. 

MITI menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai jumlah peluang pekerjaan yang bakal terhasil melalui pelaburan pusat data yang sedang berkembang serta kajian impak terhadap kesan pelaburan kepada ekonomi dan pasaran buruh negara.

Mengenai kajian  impak, MITI berkata kementerian akan melaksanakan soal selidik bagi melihat kesan limpahan ekonomi industri pusat data kepada negara. 

Kementerian telah mengenal pasti beberapa parameter penting untuk pengumpulan data melibatkan empat segmen utama dalam ekosistem pusat data, katanya.

“Ia merangkumi, pertama, syarikat dan operator pusat data; kedua, syarikat teknologi utama dan penyedia kandungan; ketiga, syarikat telekomunikasi dan pengendali rangkaian mudah alih dan keempat, pembekal peralatan serta penyedia perkhidmatan bagi industri pusat data," kata MITI. 

Kementerian berkata berapa syarikat teknologi terkemuka dunia juga telah memberi komitmen dengan menyediakan kira-kira 67,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung terutamanya dalam sektor teknologi maklumat dan rantaian bekalan berkaitan apabila projek mereka sempurna dilaksanakan.

Selain peluang pekerjaan, kerajaan akan menerajui integrasi menegak industri semikonduktor dengan industri pusat data bagi meningkatkan limpahan ekonomi kepada negara yang direalisasikan melalui penerapan produk semikonduktor keluaran tempatan dalam rantaian bekalan industri pusat data, kata MITI.

-- BERNAMA