BERITA TERKINI   Ringgit mungkin cecah bawah 4.00 berbanding dolar AS pada separuh kedua 2026 apabila hala tuju pengurangan kadar faedah Fed lebih jelas -- Ketua ahli ekonomi AmBank | AmBank naikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada 4.9 peratus daripada 4.6 peratus, 2026 tumbuh 4.5 peratus | Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen selesai pertindihan kawasan tuntutan, sebaliknya kerangka pastikan perairan itu selamat sebagai laluan perdagangan - Mohamad | Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026 -- Ketua ahli ekonomi AmBank | Salah guna Grok: Kementerian Komunikasi teliti semula nilai ambang lapan juta pengguna bagi syarat lesen media sosial - Fahmi | 

Pelaburan Diluluskan Pelbagai Sektor Ekonomi Pada 2024 Hingga Mac 2025 RM474.2 Bilion - MITI

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi adalah RM474.2 bilion bagi tempoh 2024 sehingga Mac 2025, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurutnya ia merangkumi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dengan pelaburan ini melibatkan 9,238 projek dan menjana sejumlah 241,086 peluang pekerjaan. 

"Pelaburan tempatan mendominasi pelaburan yang diluluskan dalam tempoh ini dengan jumlah RM242.5 bilion atau 51.1 peratus manakala pelaburan asing berjumlah RM231.7 bilion (48.9 peratus)," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian berkata demikian bagi menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai jumlah pelaburan asing yang diterima pada 2024 dan 2025 serta unjuran bagi tiga tahun akan datang.

Sementara itu, menurut MITI, setakat 10 Jun 2025, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang giat menilai projek cadangan pelaburan secara kolektif bernilai RM48.5 bilion. 

Daripada jumlah itu, cadangan projek pelaburan bagi sektor perkhidmatan sebanyak 683 projek dengan jumlah cadangan pelaburan RM27.6 bilion manakala sektor perkilangan menyumbang RM20.9 bilion melalui 89 projek, katanya.

MITI berkata selain itu, sebanyak RM59.3 bilion projek pelaburan berpotensi tinggi juga sedang dirunding oleh MIDA. 

"Kedua-dua angka ini menunjukkan momentum positif prestasi pelaburan di Malaysia. Justeru itu, kementerian ini amat optimistik bahawa prestasi cemerlang dan momentum ini akan dapat diteruskan untuk tempoh akan datang," katanya.

-- BERNAMA