LPNM Pergiat Usaha Pacu Eksport Nanas Malaysia, Penuhi Permintaan Global
JOHOR BAHRU, 22 Julai (Bernama) -- Permintaan New Zealand agar Malaysia meningkatkan eksport nanas ke negara itu membuktikan pengiktirafan kualiti, keselamatan dan daya saing hasil buah berkenaan, khususnya varieti premium MD2 yang kian mendapat tempat dalam kalangan pengguna.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Sheikh Umar Bagharib Ali berkata sebagai agensi yang bertanggungjawab memacu pembangunan industri buah tropika itu, perkembangan itu dilihat sebagai peluang strategik bagi memperluas capaian eksport Malaysia ke wilayah berimpak tinggi.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah dan sedang melaksanakan langkah strategik untuk memastikan kelangsungan bekalan nanas yang berkualiti dan menepati piawaian eksport bagi memenuhi pasaran antarabangsa, termasuk New Zealand.
“LPNM bersama agensi berkaitan sedang menilai kemampuan serta tahap kesediaan negara dalam mengeksport nanas ke pasaran New Zealand mengikut piawaian ditetapkan negara itu.
“Antara langkah strategik diambil termasuk meningkatkan kawasan penanaman nanas menerusi kerjasama kerajaan negeri yang menjadi salah satu indikator penting ke arah pengukuhan rantaian pengeluaran nanas negara,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi lawatan kerja ke New Zealand baru-baru ini mengenai permintaan negara berkenaan agar Malaysia meningkatkan eksport nanas susulan permintaan tinggi, sekali gus mampu membuka potensi pasaran meluas.
Mengulas selanjutnya, Sheikh Umar Bagharib berkata inisiatif lain adalah sokongan berterusan untuk memperkasa usahawan dan pekebun kecil, pengurusan rantaian bekalan serta penekanan kepada kualiti dan keselamatan makanan selain kerjasama rentas agensi.
Pihaknya juga telah menerima maklum balas positif mengenai produk hiliran nanas Malaysia menerusi dua siri kajian percubaan eksport ke New Zealand pada Oktober 2024 dan Jun lepas.
Kajian itu menilai prestasi penerimaan produk hiliran nanas Malaysia seperti kiub nanas sejuk beku, ketulan nanas kering, kerepek, ais krim dan Gel Tenaga nanas.
‘’Hasil kajian menunjukkan maklum balas yang sangat positif, terutama dari segi cita rasa, kualiti pembungkusan serta pematuhan terhadap piawaian keselamatan makanan dan keperluan import negara itu,” katanya.
Pada 2024, Malaysia telah mengeksport 30,735 tan metrik produk berasaskan nanas seperti jus, nanas kaleng, (hiasan) ornamental dan produk industri asas tani manakala eksport keseluruhan produk nanas tempatan bernilai RM1.73 bilion.
“Eksport nanas segar pula mencecah 11,633 tan metrik bernilai kira-kira RM23.07 juta ke lebih 20 negara, termasuk pasaran utama seperti China, Singapura, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu,” katanya.
-- BERNAMA