BERITA TERKINI   Ringgit mungkin cecah bawah 4.00 berbanding dolar AS pada separuh kedua 2026 apabila hala tuju pengurangan kadar faedah Fed lebih jelas -- Ketua ahli ekonomi AmBank | AmBank naikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada 4.9 peratus daripada 4.6 peratus, 2026 tumbuh 4.5 peratus | Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen selesai pertindihan kawasan tuntutan, sebaliknya kerangka pastikan perairan itu selamat sebagai laluan perdagangan - Mohamad | Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus bagi tempoh sepanjang 2026 -- Ketua ahli ekonomi AmBank | Salah guna Grok: Kementerian Komunikasi teliti semula nilai ambang lapan juta pengguna bagi syarat lesen media sosial - Fahmi | 

239,053 Pekebun Kecil Terima Manfaat IPG Bernilai RM523.4 Juta Sehingga Jun 2025

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Pemberian Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah memberi maanfaat kepada 239,053 pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM523.4 juta sejak pelaksanaannya dari September 2015 hingga 30 Jun 2025, menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Katanya IPG dilaksanakan untuk menjamin kebajikan pekebun kecil getah agar masih memperoleh pendapatan yang wajar apabila harga getah jatuh di bawah Paras Harga Pengaktifan (PHP).

“Bermula tahun 2024, PHP IPG telah dinaikkan kepada RM3.00 sekilogram,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam.

KPK menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung langkah strategik kementerian dalam memastikan harga getah kekal stabil dan tidak merosot hingga menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

Katanya Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah membangunkan Projek Rintis Model Baharu IPL+ di Kedah dan Perak bertujuan menggalakkan pekebun kecil beralih kepada pengeluaran getah dalam bentuk lateks yang memberi pulangan lebih tinggi berbanding cuplump.

Menurut KPK, inisiatif ini juga merupakan langkah awal bagi mengurangkan kebergantungan kepada lateks import.

“Sehingga Jun 2025, sebanyak 221 tan metrik lateks telah berjaya dihasilkan melalui Projek IPL+. Jumlah ini dijangka terus meningkat dengan peluasan program ke tiga lagi lokasi tambahan yang sedang dijalankan pada tahun ini, iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, katanya LGM sedang membina tiga pusat Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) yang dijangka beroperasi pada suku kedua 2026.

Menurut KPK, program TARGET bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui penglibatan langsung dalam rantaian industri tanpa kebergantungan kepada orang tengah.

“Ia memendekkan rantaian bekalan dan membolehkan pekebun menghasilkan getah krip bernilai tambah dengan Kandungan Getah Kering (KGK) kira-kira 80 peratus, yang memberi pulangan lebih tinggi kepada pekebun kecil. 

“Jika dilaksanakan melalui koperasi, keuntungan turut diagihkan sebagai dividen kepada ahli,” katanya.

-- BERNAMA