BERITA TERKINI   Kerajaan akan meneliti pindaan akta tertentu bagi kesalahan curi kabel rel ECRL - Saifuddin Nasution | AKPS perlu dilengkapkan dengan teknologi baharu di pintu masuk negara, pastikan kawalan sempadan pada tahap terbaik - Saifuddin Nasution | Seramai 200 veteran ATM akan sertai AKPS bermula suku pertama tahun ini - Saifuddin Nasution | AKPS bergerak di landasan betul dan cemerlang, KDN beri sokongan penuh - Saifuddin Nasution | Bakar suar: Sultan Selangor zahir rasa amat dukacita insiden babitkan penyokong Selangor FC - Istana Alam Shah | 

Kerangka Kerja Pusat Data Mampan Dijangka Diperkenal Oktober Ini

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Kerangka Kerja Pusat Data yang mampan dijangka diperkenalkan pada Oktober ini, menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menerusi satu hantaran di platform X malam ini, beliau berkata kerangka tersebut akan diletakkan di bawah Kementerian Digital, yang antara lain akan menyaksikan koordinasi strategik bersama semua agensi berkaitan dan kerajaan negeri berhubung pelaksanaan pembangunan pusat data.

Tengku Zafrul berkata persetujuan itu dicapai menerusi mesyuarat Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) 2025, yang dipengerusikan bersama Menteri Digital Gobind Singh Deo hari ini.

"Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga akan menjadi 'focal point' bagi semua permohonan projek pusat data baharu dan pembesaran. 

"Ini akan memastikan semua inisiatif dan projek berjalan lancar, mengelakkan pertindihan fungsi, serta menyokong pembangunan ekosistem pusat data negara yang lebih mampan dan strategik," kata beliau menerusi hantaran itu.

Tengku Zafrul berkata mesyuarat tersebut amat penting untuk memastikan pembangunan industri pusat data negara lebih mampan, berdaya saing, dan mesra pelabur. 

DCTF adalah platform strategik pelbagai agensi yang diterajui oleh kementeriannya dan Kementerian Digital untuk menyelaras segala perancangan dan pelaksanaan projek pusat data secara holistik.

-- BERNAMA