BERITA TERKINI   Perkhidmatan tren LRT antara Stesen Universiti dan Abdullah Hukum alami gangguan bekalan kuasa, kerja baik pulih sedang dijalankan - RapidKL | PKS perlu terima pakai teknologi baru muncul seperti AI, robotik dan automasi, pengkomputeran kuantum, IoT dan Gen-AI untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan global - Tengku Zafrul | Dewan Rakyat lulus RUU Agensi Persendirian (Pindaan) 2025, tambah baik proses pengeluaran, pembaharuan lesen perniagaan agensi persendirian | Polis jangka sebanyak 2.1 juta kenderaan akan berada di atas jalan raya sempena cuti Deepavali bermula 18 Okt ini - Pengarah JSPT Bukit Aman | Ops Lancar sempena sambutan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Okt - Pengarah JSPT Bukit Aman | 

MyCIF Catat Nilai Pelaburan Bersama Melebihi RM1 Bilion

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Jumlah pelaburan bersama Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) mencecah RM1.19 bilion pada akhir 2024, dengan RM264 juta dilaburkan pada 2024 sahaja.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menjelaskan MyCIF telah menarik 4.1 kali ganda pembiayaan sektor swasta bagi setiap ringgit yang dilaburkan, menunjukkan kesan galakan pelaburan yang ketara dan seterusnya mencatatkan peningkatan jumlah pelaburan swasta sebanyak 21.4 peratus.

“RM1.19 bilion pelaburan bersama oleh MyCIF adalah bersamaan dengan 4.6 kali ganda daripada jumlah dana RM260 juta yang dikeluarkan daripada kerajaan sehingga kini ke dalam program itu, menunjukkan penggunaan dana awam yang cekap,” jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

MyCIF, yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan di bawah Belanjawan 2019, telah menjadi pemacu utama dalam landskap pembiayaan, menggunakan platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (pembiayaan P2P) untuk menyalurkan dana kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

SC memaklumkan sebagai tambahan kepada pelaburan bersama Skim Am 1:4, MyCIF terus memperkukuh segmen ekonomi yang strategik dan kurang mendapat perkhidmatan melalui skim yang disasarkan.

Ini termasuk Skim Keterjaminan Makanan dan Perusahaan Alam Sekitar & Sosial dengan nisbah pelaburan bersama keutamaan 1:2, tambahnya.

“Pelaburan bersama dalam segmen ini meningkat kepada RM7 juta pada 2024 daripada RM3.4 juta pada 2023, mencerminkan komitmen MyCIF yang diperkukuh terhadap bidang pelaburan yang disasarkan,” menurut SC.

Mengikut Belanjawan 2025, MyCIF telah memperuntukkan sehingga RM40 juta untuk mempromosikan pembiayaan perkongsian risiko Islam yang inovatif melalui platform ECF dan P2P, tambah suruhanjaya itu.

“Peruntukan ini melengkapkan skim MyCIF sedia ada dan bertujuan menggalakkan penggunaan struktur pembiayaan Islam (konsep Musharakah dan Mudharabah) lebih besar.

“MyCIF akan melabur pada asas kerugian pertama dalam kempen ECF dan P2P berdasarkan model perkongsian risiko Islam; dan bagi kempen P2P, MyCIF juga akan melabur pada kadar pembiayaan sifar peratus,” tambah SC.

-- BERNAMA