BERITA TERKINI   MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun bentang Belanjawan Sabah 2026 berjumlah RM6.402 bilion | Sukan SEA 2025: Gimnas negara Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam menang pingat emas acara melombol lelaki | 

MIMOS Lantik Saat Shukri Sebagai Presiden, CEO Kumpulan Baharu

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- MIMOS Bhd (MIMOS) telah melantik Saat Shukri Embong sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 14 Julai, 2025.

Dalam satu kenyataan, MIMOS berkata Saat Shukri, seorang pemimpin yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai inovasi teknologi dan pengkomersialan, akan membawa pelbagai pengalaman dalam peranan baharunya sebagai teraju institusi penyelidikan dan pembangunan terulung Malaysia.

“Beliau memulakan kerjayanya di Motorola Ins pada 1995 dan memiliki pengalaman luas dalam industri semikonduktor termasuk memegang jawatan utama di STATSChipPAC Inc, Infineon Technologies AG, Texas Instruments Inc, dan Freescale Semiconductor Inc,” katanya.

Pada 2009, Saat Shukri menyertai Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan pada 2010 beliau dipinjamkan ke Pejabat Perdana Menteri sebagai pengarah operasi, pejabat penasihat sains kepada Perdana Menteri Malaysia.

Beliau meneruskan tugasnya di MIMOS pada 2010 sebagai pengarah penyelidikan dan menerajui pelbagai program kerjasama dengan industri tempatan dan antarabangsa, universiti dan institusi penyelidikan. 

Sepanjang kerjayanya, Saat Shukri telah berjaya membangunkan pelbagai teknologi, produk dan penyelesaian baharu, selain memperoleh beberapa harta intelek dalam bidangnya, membolehkan beliau tersenarai dalam mendapat Edisi ke-16 ‘Marquis’ Who’s Who in the World’.

Saat Shukri memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan dalam Mekatronik daripada Universiti Hartford, Amerika Syarikat serta Ijazah Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Elektrikal dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Di bawah kepimpinan Saat Shukri, MIMOS bersedia untuk mempercepatkan sumbangannya kepada kemajuan teknologi negara, memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan dalam inovasi dan transformasi digital,” kata agensi penyelidikan dan pembangunan itu.

-- BERNAMA