Unit Pelabuhan Bintulu Tegaskan Komitmen Perkukuh Operasi Tenaga Luar Pesisir
KUCHING, 17 Julai (Bernama) -- Anak syarikat Bintulu Port Holdings Bhd (Bintulu Port), Borneo Oil and Gas Supply Base Sdn Bhd (BOGSB) menegaskan semula komitmennya untuk memperkukuh operasi tenaga luar pesisir melalui pembangunan infrastruktur strategik dan perkhidmatan bersepadu.
Menurut kenyataan Bintulu Port, komitmen berkenaan ditegaskan menerusi penyertaan BOGSB dalam Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2025 yang diadakan dari Selasa hingga hari ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
“Acara itu menyediakan platform untuk perbincangan bermakna bersama pihak berkepentingan industri sekali gus memupuk potensi kerjasama bagi memacu sektor tenaga Sarawak ke hadapan.
“Sebagai satu-satunya pangkalan bekalan khusus di Sarawak, BOGSB mempamerkan keupayaannya dalam menyokong logistik luar pesisir dan operasi tenaga sambil menerima pengiktirafan tertinggi daripada pemimpin negeri,” katanya.
Bintulu Port berkata penyertaan BOGSB dalam IEW 2025 menekankan komitmennya untuk mempertingkatkan operasi tenaga luar pesisir melalui pembangunan infrastruktur khusus, keterhubungan marin dan perkhidmatan sokongan bersepadu.
Menurutnya, acara itu diwarnai dengan kunjungan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyerlahkan sokongan padu kerajaan negeri terhadap peranan strategik syarikat dalam pembangunan infrastruktur tenaga.
Turut hadir sewaktu kunjungan berkenaan ialah Pengerusi Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB), Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif BPHB, Roslan Abdul Ghani dan beberapa ahli lembaga pengarah BPHB, terdiri dari Salihin Abang, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha dan Datuk Dayang Sadiah Abang Bohan.
“Sebagai pangkalan bekalan utama Sarawak, kami bukan sahaja membina infrastruktur tetapi juga menjalin kerjasama yang akan membentuk masa depan tenaga di rantau ini dan seterusnya.
“Dengan sokongan padu kerajaan dan penglibatan industri, penyertaan BOGSB di IEW 2025 menegaskan kepimpinannya dalam mengubah suai logistik luar pesisir serta menyokong peranan Sarawak yang semakin berkembang dalam landskap tenaga global,” katanya.
-- BERNAMA