BERITA TERKINI   Jabatan Peguam Negara akan ambil tindakan lanjut terhadap Bloomberg - KSN | Kerajaan nafi dakwaan Bloomberg bahawa PM minta jawatankuasa khas tangguh pendedahan siasatan pemilikan saham Azam Baki - KSN | Kerajaan kekalkan bantuan BUDI Diesel RM300 bagi April yang akan disalurkan mulai 8 April, manfaatkan 340,000 penerima dengan peruntukan RM102 juta - MoF | Kerajaan MADANI terus bertindak proaktif berlandaskan data dan realiti semasa supaya langkah diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan dalam menghadapi krisis tenaga global - PM Anwar | PM Anwar mahu seluruh rakyat memperkukuh ekonomi domestik, utamakan barangan tempatan dan sokong usahawan tempatan sebagai benteng utama mengharungi krisis tenaga global | 

Pembaharuan Struktur Jangka Panjang Perlu Bagi Tangani Kos Sara Hidup - Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Kerajaan perlu melaksanakan pembaharuan yang lebih holistik dan berpandangan jauh ke hadapan bagi mengurus kenaikan kos sara hidup, melebihi sokongan fiskal jangka pendek, kata Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan AmBank Firdaos Rosli.

Beliau berkata pemindahan tunai kekal sebagai langkah jangka pendek yang berkesan dan ia boleh mengurangkan kos sara hidup dengan serta-merta.

“Ia berkesan dan mudah untuk dilaksanakan. Tetapi ini hanyalah penyelesaian jangka pendek. Untuk membina daya tahan jangka panjang, kita memerlukan strategi ekonomi yang mampan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai sesi panel Forum Ekonomi Malaysia 2025 di sini hari ini.

Firdaos berkata tiga keutamaan struktur utama yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan dalam usaha mengurangkan kos sara hidup sambil memacu pertumbuhan iaitu penyahkawalseliaan, insentif pelaburan yang dinamik dan desentralisasi.

Beliau berkata penyahkawalseliaan industri terpilih boleh meningkatkan produktiviti negara selain mengurangkan halangan birokrasi untuk perniagaan.

Katanya, ini termasuk mempermudah proses berkaitan tanah dan ekuiti serta menyelaraskan prosedur perniagaan bagi menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelaburan yang lebih berdaya saing.

Jelasnya, walaupun Malaysia sudah menawarkan pelbagai insentif pelaburan, kerajaan mesti sentiasa menilai keadaan semasa untuk kekal berdaya saing.

“Jika negara jiran kita menawarkan insentif yang sama, apa yang membezakan kita? Insentif kita mesti bersifat dinamik dan seiring dengan aliran ekonomi global,” katanya.

Firdaos juga berkata keperluan untuk desentralisasi beberapa fungsi pentadbiran bagi mempercepatkan pembangunan perindustrian.

Mengambil contoh Taman Perindustrian Kulim, beliau berkata pemprosesan permit yang lebih cepat dan sokongan infrastruktur di peringkat tempatan boleh membantu menarik lebih banyak pelaburan.

“Kadang-kadang kelulusan boleh menjadi cepat di kawasan tertentu seperti Kulim yang mendapat manfaat daripada kesan limpahan dari Pulau Pinang.

"Tetapi kita memerlukan lebih banyak ‘Kulim’ iaitu kawasan yang mendapat manfaat daripada kedekatan dengan pelabuhan atau hab perindustrian seperti Klang atau Tanjung Malim,” kata beliau.

-- BERNAMA