ASSAR Umum Dividen Akhir 3.0 Sen Seunit
KUCHING, 16 Julai (Bernama) -- Amanah Saham Sarawak (ASSAR) hari ini mengumumkan pengagihan dividen akhir sebanyak 3.0 sen seunit bagi tahun kewangan 2025.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pengagihan kali kedua selepas pengagihan interim pada Januari lepas akan melibatkan pembayaran sebanyak RM14.52 juta kepada 57,870 pelabur, dikira berdasarkan baki pegangan unit pada 30 Jun 2025.
“Jumlah keseluruhan pulangan dividen ASSAR bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 ialah sebanyak 6.0 sen seunit, iaitu dividen interim 3.0 sen seunit ditambah dengan dividen akhir 3.0 sen seunit, dengan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM28.76 juta,” katanya semasa mengumumkan pengagihan dividen itu di sini.
Abang Johari berkata bagi memastikan ASSAR terus relevan dan dekat di hati masyarakat, ASSAR perlu mengambil inisiatif mendekati para pelabur terutamanya mereka yang berada di luar bandar.
Beliau berkata pelancaran pejabat bergerak ASSAR pada hari ini juga penting dalam usaha mendekati para pelabur.
“Dengan pelancaran pejabat bergerak ini, saya yakin lebih ramai yang akan mendapat akses mudah kepada maklumat pelaburan dan perkhidmatan berkaitan dana ASSAR tanpa perlu hadir ke pejabat rasmi di Kuching.
“Saya berharap inisiatif seperti ini akan diteruskan dan diperluaskan. Kita mahu lihat lebih banyak inovasi dalam cara penyaluran perkhidmatan di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar - agar ia lebih inklusif, mesra rakyat dan cekap,” katanya.
ASSAR dilancarkan pada 25 Ogos, 1993 untuk memberi peluang kepada rakyat bumiputera di Sarawak menyertai pembangunan ekonomi negara melalui skim pelaburan kolektif di pasaran modal.
-- BERNAMA