BERITA TERKINI   Hakim Mahkamah Persekutuan Abu Bakar Jais dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, majlis angkat sumpah 28 Julai ini - Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan | Hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik Ketua Hakim Negara yang baharu, majlis angkat sumpah 28 Julai ini - Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan  | 

PNB Diiktiraf Pelabur Berdaulat Terbaik Malaysia, Duduki Tempat Ke-17 Di Peringkat Global - Global SWF

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah diiktiraf sebagai pelabur berdaulat terbaik Malaysia dan menduduki tempat ke-17 di peringkat global dalam Papan Skor GSR (Tadbir Urus, Kemampanan dan Ketahanan) 2025 diterbitkan oleh firma penyelidikan Global SWF berpangkalan di Amerika Syarikat.

Papan Skor GSR telah menjadi kayu pengukur amalan terbaik dalam kalangan pelabur milik kerajaan di seluruh dunia, ia menilai lebih daripada 200 dana kekayaan negara (SWF) dan dana pencen awam di seluruh dunia mengenai amalan tadbir urus, komitmen kemampanan dan daya tahan institusi.

Dalam satu kenyataan hari ini, PNB berkata ia menerima skor keseluruhan sebanyak 84 peratus termasuk skor penuh 10 (pemberian skor tertinggi untuk kemampanan) sebagai pengiktirafan terhadap sasaran iklim, integrasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ketelusan dalam pelaporan.

“Penarafan itu mencerminkan kemajuan ketara dicapai oleh PNB dalam mengukuhkan tadbir urus, menerapkan kemampanan merentas proses pelaburannya dan meningkatkan daya tahan institusi bagi tempoh jangka panjang,” katanya.

Timbalan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Rick Ramli berkata penarafan itu mencerminkan usaha berterusan PNB untuk menerapkan amalan bertanggungjawab dan mampan dalam aktiviti operasi dan pelaburannya.

“Ia juga merupakan galakan yang kuat bagi kami untuk terus memacu penciptaan nilai jangka panjang untuk pemegang unit kami dan ekonomi Malaysia yang lebih luas, seiring dengan tujuan PNB untuk meningkatkan kehidupan kewangan rakyat Malaysia merentas generasi,” katanya.

PNB berkata kemajuan ketara termasuk pengurangan 98 peratus dalam pelepasan Skop 1 dan 2 daripada garis dasar 2022, sejajar dengan sasarannya untuk mencapai operasi sifar karbon bersih menjelang 2025.

Pelepasan Skop 1 merujuk kepada pelepasan gas rumah hijau secara langsung daripada sumber dimiliki atau dikawal oleh sesebuah organisasi seperti pembakaran bahan api dalam kenderaan atau loji, manakala Pelepasan Skop 2 pula merujuk kepada pelepasan terhasil daripada penggunaan elektrik atau haba dibeli dan digunakan oleh organisasi.

Mengenai sasaran peringkat portfolio, PNB telah berikrar untuk mencapai portfolio pelaburan sifar bersih menjelang 2050 dan setakat ini telah menyalurkan RM5.5 bilion ke dalam aset hijau dan peralihan, mewakili 55 peratus daripada sasaran RM10 bilion menjelang 2030.

PNB juga telah melaksanakan dasar gaji sara hidup untuk kakitangannya sejak 2023 dan kini menggalakkan syarikat penerima pelaburannya untuk mengamalkan amalan serupa di bawah inisiatif GEAR-uP kerajaan.

-- BERNAMA