BERITA TERKINI   Bantuan Wang Ihsan akan disalurkan ketika mangsa banjir masih berada di PPS - TPM Ahmad Zahid | Cadangan naikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana akan dibawa ke mesyuarat Kabinet - TPM Ahmad Zahid | Sukan SEA 2025: Malaysia capai sasaran pingat ke-200 dengan raih emas acara berbasikal trek kejar-mengejar berpasukan lelaki | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Nur Aisyah Mohamad Zubir raih pingat emas acara scratch wanita | Sukan SEA 2025: Pelumba basikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom rangkul pingat emas acara keirin lelaki | 

Unjuran Produk Getah Kekal Suram Susulan Persekitaran Yang Tidak Menguntungkan - RHB IB

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menjangkakan sektor produk getah kekal suram susulan persekitaran operasi yang tidak menguntungkan, dipacu oleh tempoh penyatuan inventori yang lebih lama daripada jangkaan.

Bank itu melalui satu nota penyelidikan hari ini berkata persaingan tetap sengit di pasaran bukan Amerika Syarikat (AS), sebahagian besarnya disebabkan oleh strategi perang harga yang diterima pakai oleh pengeluar-pengeluar dari China.

"Cabaran-cabaran yang berterusan dalam pelepasan kos bahan api dan penjanaan, ditambah pula dengan persekitaran kos operasi yang semakin meningkat dan kejatuhan nilai dolar US, dijangka akan menjejaskan keuntungan pembuat sarung tangan.

"Risiko kelemahan lain termasuk hubungan AS-China yang semakin merosot, kenaikan harga jualan purata sarung tangan (ASP), pengembangan kapasiti yang lebih cepat daripada unjuran serta harga bahan mentah yang lebih rendah daripada jangkaan," katanya.

Sementara itu, bank tersebut juga menjangkakan bahawa pentauliahan kilang-kilang baharu di Indonesia dan Vietnam boleh menimbulkan ancaman kepada eksport produk getah Malaysia ke AS menjelang awal November 2025.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, eksport sarung tangan negara mencatatkan penurunan dari bulan ke bulan sebanyak 22 peratus serta enam peratus pada April dan Mei.

Ini menunjukkan bahawa aktiviti pengisian stok semula oleh pelanggan kekal lembap memandangkan industri terus mengalami tempoh perancangan sehingga pengeluaran yang lebih lama daripada jangkaan akibat langkah-langkah peruntukan sumber yang dilihat pada suku keempat tahun 2024. 

Seterusnya, dolar US yang tidak bermaya berbanding ringgit telah menjejaskan keuntungan pembuat sarung tangan, setakat Jun lepas, dolar US jatuh sebanyak tiga peratus dari suku ke suku dan 5.4 peratus dari tahun ke tarikh terkini.

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan 'dibawah wajaran' ke atas sektor tersebut," katanya lagi.

RHB IB mengekalkan saranan 'neutral' pada Hartalega Holdings Bhd serta Supermax Corporation Bhd, dengan harga sasaran (TP) masing-masing sebanyak RM1.33 sesaham dan 54 sen. Kossan Rubber, bagaimanapun, diturunkan kepada penarafan 'jual', dengan TP sebanyak RM1.23.

Setakat 10.30 pagi tadi, Hartalega kehilangan empat sen kepada RM1.50 dengan 5.16 juta saham bertukar tangan, Supermax jatuh dua sen kepada 61 sen dengan transaksi 3.60 juta saham, manakala Kossan Rubber berkurangan tiga sen kepada RM1.37 dengan 2.98 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA