Malaysia Kenal Pasti Tiga Bidang Keutamaan Perkukuh Kerjasama Dengan New Zealand - Ahmad Zahid
Daripada Ahmad Erwan Othman
AUCKLAND, 14 Julai (Bernama) -- Malaysia telah mengenal pasti tiga bidang keutamaan untuk meningkatkan kerjasama dengan New Zealand iaitu kemampanan, transformasi digital dan keterjaminan makanan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata New Zealand, dengan 87 peratus tenaga elektriknya dijana daripada sumber boleh baharu, merupakan peneraju dalam peralihan hijau.
"Ini selari dengan komitmen Malaysia untuk mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050," katanya pada sesi libat urus Majlis Perniagaan ASEAN-New Zealand (ANZBC), di sini, hari ini.
Mengenai transformasi digital, Ahmad Zahid berkata terdapat potensi sinergi antara agenda MyDIGITAL Malaysia dan kekuatan New Zealand dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), khususnya dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), bandar pintar, keselamatan siber dan tadbir urus perdagangan digital.
Bagi sektor pertanian makanan, Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata reputasi global New Zealand dalam kualiti dan inovasi sejajar dengan keupayaan Malaysia dalam pensijilan halal dan logistik yang menyediakan potensi besar kepada kedua-dua negara, memandangkan peningkatan pesat kelas pertengahan di ASEAN.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pertumbuhan ekonomi perlu inklusif dengan memastikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) di seluruh ASEAN termasuk di Malaysia tidak ketinggalan.
“Ini bermakna menambah baik akses kepada kewangan perdagangan, instrumen digital dan pembinaan kapasiti,” katanya.
Beliau juga mengulangi komitmen Malaysia untuk meningkatkan perkongsian ekonomi dengan New Zealand, dengan visi bersama untuk meningkatkan perdagangan dua hala sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
Ahmad Zahid menyifatkan kerjasama antara kedua-dua negara sebagai "perkongsian berakar umbi" yang telah berkembang daripada hubungan diplomatik pada awalnya kepada kerjasama kukuh ekonomi dalam pelbagai aspek.
Beliau berkata perdagangan dua hala antara Malaysia dan New Zealand pada 2024 mencecah RM10.72 bilion (US$2.34 bilion), menjadikan Malaysia rakan dagang ASEAN kedua terbesar bagi New Zealand.
"Angka ini bukan sekadar statistik, ia mencerminkan keyakinan, kesalinghubungan dan komitmen antara ekonomi kita," katanya.
Selain itu, beliau berkata perjanjian seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–New Zealand, yang membolehkan 99.8 peratus eksport New Zealand memasuki Malaysia tanpa cukai, dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–Australia–New Zealand (AANZFTA), yang telah meningkatkan eksport New Zealand ke ASEAN sebanyak hampir 60 peratus sejak 2010, perlu terus diperkukuh.
Ahmad Zahid berkata AANZFTA yang ditambah baik baru-baru ini selain momentum yang dijana daripada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), telah meletakkan kedua-dua negara di kedudukan yang lebih baik untuk membina kerangka perdagangan yang adil, moden dan mampan.
Mengenai sesi libat urus hari ini beliau berkata ia bukan hanya sekadar forum perniagaan tetapi juga mencerminkan hubungan mendalam yang telah dipupuk selama beberapa dekad, daripada pertukaran diplomatik pada awalnya kepada kerjasama perdagangan dan pelaburan strategik.
Majlis itu yang dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia, ANZBC, dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (MFAT) New Zealand, bertujuan untuk memperdalam hubungan ekonomi dua hala, meneroka peluang perdagangan dan pelaburan, serta mengukuhkan rangkaian perniagaan antara ASEAN dan New Zealand.
Turut hadir Pengerusi ANZBC Kathleen Morrison dan Pengurus Pasaran New Zealand Trade and Enterprise (NZTE) Ivy Huang bersama-sama wakil perniagaan New Zealand dan ASEAN.
-- BERNAMA