BERITA TERKINI   Kerajaan mahu aktifkan semula pertukaran pelajar, galak pelajar New Zealand ceburi TVET di Malaysia - TPM Ahmad Zahid | Malaysia sedia tambah 100 pelajar tajaan MARA lanjut pengajian ke New Zealand, khususnya bidang teknologi hijau - TPM Ahmad Zahid | KPKM perkenal dua varieti baharu padi, MR CL3 dan MR CL4 untuk tangani isu padi angin - Mohamad | Kerajaan lulus Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta kepada pegawai perubatan yang jalani tempoh pengalaman kerja diselia selepas tamat latihan kepakaran - KKM | 

Pengurangan OPR Boleh Tangani Isu Nisbah Khidmat Hutang Isi Rumah - GX Bank

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada 2.75 peratus daripada 3.0 peratus berpotensi mengurangkan nisbah khidmat hutang isi rumah sekali gus memberikan kelegaan dari segi pendapatan boleh guna, menurut GX Bank Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Kaushik Chowdhury berkata langkah itu seterusnya boleh mengurangkan kebimbangan mengenai kenaikan kos sara hidup.

“Keputusan BNM melaraskan OPR kepada 2.75 peratus adalah strategik dan tepat pada masanya, dikira dengan teliti untuk mengimbangi keperluan rakyat Malaysia dengan potensi kesan iklim ekonomi global dan politik semasa.

“Ini menunjukkan komitmen untuk memastikan ekonomi Malaysia stabil, berdaya tahan dan mampan,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Chowdhury berkata melindungi daya tahan kewangan Malaysia adalah tanggungjawab bersama, dan sebagai bank digital, GX Bank berada pada kedudukan ideal dan komited untuk membantu rakyat Malaysia dalam perkara itu.

“Galakan simpanan dan perbelanjaan strategik adalah asas kepada sebuah negara yang berdaya kewangan,” katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd berpandangan pelonggaran dasar monetari akan membantu mengurangkan kesan kejutan tarif.

Kadar faedah jangka masa pendek di seluruh ASEAN telah menurun walaupun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengekalkan kadar faedahnya setakat ini pada 2025, menurutnya.

Bank pelaburan itu menyatakan kadar faedah jangka masa pendek telah susut dengan ketara terutama di Singapura (-110 mata asas) susulan aliran masuk dana selamat.

“Bank-bank pusat ASEAN telah mengurangkan kadar dasar masing-masing sejak awal 2025, termasuk Indonesia (-50 mata asas), Thailand (-50 mata asas), Filipina (-50 mata asas) dan Malaysia (-25 mata asas),” tambahnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pada 9 Julai, 2025, BNM mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus.

Kali terakhir BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus adalah pada Mac 2023. Kadar dinaikkan kepada tiga peratus pada Mei 2023.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas merupakan tindakan awalan yang bertujuan untuk memelihara dan memastikan landasan pertumbuhan terus stabil.

Keputusan itu turut mengambil kira ketidaktentuan perdagangan dan risiko perkembangan geopolitik yang boleh menjejaskan prospek ekonomi Malaysia, katanya kepada Bernama dalam wawancara menerusi e-mel bertarikh 9 Julai, 2025.

-- BERNAMA