Suri Rumah Jana Pendapatan Lumayan Hasil Gubahan Bunga
Oleh Sarinah Mat Kasim
SEREMBAN, 13 Julai (Bernama) -- Bermula dengan sekadar hobi kerana minat yang mendalam terhadap seni, seorang suri rumah di sini mampu menjana pendapatan lumayan hasil kreativiti menggubah bunga daripada dawai baldu sekali gus menjadikan ia sebagai sumber pendapatan tetap.
Siti Amirah Pilus, 36, berkata dia mula berkecimpung dalam bidang gubahan pada 2014 dengan mengambil upah membuat hantaran perkahwinan sebelum beralih sepenuhnya kepada gubahan menggunakan dawai baldu sejak tiga tahun lepas.
"Saya mula belajar gubahan menggunakan dawai baldu ini apabila tertarik melihat tutorialnya di Instagram dan terus minat, kemudian saya beli dawai berkenaan dan cuba buat, saya nampak hasilnya agak baik.
"Pada awalnya agak sukar tetapi lama-kelamaan jadi mudah apabila kita sudah dapat rentak dan corak untuk menghasilkan sesuatu gubahan dengan senang seperti bunga, rantai kunci (keychain), perhiasan dan jambangan bunga, " katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini.
Ibu kepada kepada empat cahaya mata itu berkata gubahan dawai baldu itu dapat dihasilkan dalam tempoh lima minit bagi gubahan kecil dan dua jam untuk gubahan bunga besar seperti jambangan bunga yang dijual pada harga antara RM3.50 hingga RM250 mengikut jenis dan permintaan.
Lazimnya pelanggan akan menempah gubahan jambangan bunga baldu dan bunga hiasan untuk majlis konvokesyen atau persaraan sebagai hadiah kerana ia kekal cantik dan tidak layu berbanding bunga asli serta boleh dijadikan kenangan.
"Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan setiap bulan saya akan peroleh pendapatan lebih RM1,500 hasil daripada jual gubahan ini dan pernah mencecah RM8,000 selepas produk ini mula tular di media sosial," katanya sambil menambah menjalankan perniagaan itu di rumah.
Anak kelahiran Jempol itu berkata dia antara usahawan bimbingan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan mendapat bimbingan dan bantuan daripada agensi itu sebanyak RM5,000 secara sekali beri menerusi Program Quick Win.
Siti Amirah berkata sehingga kini beliau tetap aktif mengikuti pelbagai kursus anjuran KEMAS terutama kepada usahawan mikro untuk meningkatkan ilmu dalam dunia perniagaan.
"Impian saya pada satu hari nanti supaya dapat membuka sebuah kedai untuk menjual produk gubahan dan hiasan saya dengan lebih meluas, walaupun secara kecil-kecilan tetapi saya puas hati apabila pelanggan gembira dengan hasil tangan saya," katanya.
Beliau turut berkata bakat yang ada pada dirinya itu tidak akan disia-siakan sebaliknya digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang dapat memberi manfaat buat dirinya dan peminat seni gubahan.
-- BERNAMA