BERITA TERKINI   Pembangunan solar terapung hidro hibrid dan hab hidrogen hijau di Kenyir berpotensi tarik pelaburan serantau dan antarabangsa – PM Anwar | Pembangunan solar terapung hidro hibrid hab hidrogen hijau di Kenyir buka ruang anak tempatan terima pendidikan TVET oleh Petronas dan TNB - PM Anwar | Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO - MOTAC | 

MIDF Amanah Jangka Pertumbuhan Pembuatan Mampan Walaupun Berdepan Risiko Tarif

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjangka sektor pembuatan Malaysia mengekalkan momentum pemulihannya, didorong oleh pengeluaran perkilangan yang meningkat dan permintaan domestik yang berdaya tahan walaupun cabaran luaran terus menjadi kebimbangan.

Bank pelaburan itu membuat unjuran tersebut berdasarkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global terkini, yang meningkat kepada 49.3 pada Jun 2025 — bacaan tertinggi sejak Oktober 2022 — menunjukkan pengeluaran yang lebih kukuh dan penurunan pesanan baharu yang lebih sederhana.

“Dalam kata lain, kami menjangka pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) akan meningkat berikutan pengeluaran pembuatan yang lebih baik mencerminkan rangsangan berterusan walaupun sementara, terhadap perdagangan luar.

“Sentimen pasaran kewangan turut menunjukkan jangkaan pasaran mula beralih dan tidak lagi tertumpu kepada ketidaktentuan berkaitan tarif,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

Bagaimanapun, ia mengingatkan bahawa penurunan berterusan dalam pengeluaran sektor perlombongan boleh terus menjejaskan prestasi keseluruhan IPP dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan sektor pembuatan Malaysia meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM158.7 bilion pada Mei 2025 berbanding 4.7 peratus pada April.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu disumbangkan terutama oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau, mengekalkan pengembangan yang kukuh dengan peningkatan 13.0 peratus pada Mei 2025 berbanding 10.8 peratus pada April.

Sehubungan itu, MIDF Amanah menjangka jualan terus meningkat dalam jangka masa pendek, didorong oleh rangsangan sementara daripada penangguhan tarif menjelang pelaksanaan tarif baharu bermula 1 Ogos 2025.

Walaupun ketidaktentuan berterusan dan kesan kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) mungkin terus mengekang pengeluaran dalam sektor berorientasikan eksport, MIDF Amanah mengunjurkan penggunaan domestik meningkat dan kemajuan yang menggalakkan dalam kerja-kerja pembinaan akan terus menyokong pengeluaran produk berorientasikan domestik.

“Berdasarkan pertumbuhan keseluruhan IPP yang menyederhana, kami mengekalkan unjuran bahawa pertumbuhan IPP Malaysia akan menyederhana kepada 2.0 peratus pada tahun ini.

“Ketidaktentuan luaran yang berterusan, terutamanya daripada kesan tarif yang lebih tinggi ke atas permintaan akhir boleh menyebabkan syarikat dalam sektor berteraskan eksport melambatkan pengeluaran selain sokongan yang semakin berkurangan daripada aktiviti pengisian depan kerana AS dijangka mula mengenakan tarif timbal balik pada Ogos,” katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangka pertumbuhan IPP akan terus berkembang, disokong oleh peningkatan pengeluaran industri yang mempunyai pendedahan lebih luas kepada pasaran domestik, selari dengan penggunaan domestik yang meningkat berikutan pasaran buruh yang baik dan pendapatan semakin bertambah.

-- BERNAMA