Malaysian Re Raih Dua Anugerah Prestij Di Insurance Asia Awards 2025
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re) meraih dua anugerah utama di Insurance Asia Awards 2025 yang berlangsung di Singapura sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap insurans semula ASEAN.
Malaysian Re dalam satu kenyataan hari ini berkata ia menerima anugerah Editor’s Choice: Asian Reinsurance Excellence Award for Outstanding Growth serta Training and Development Initiative of the Year -Malaysia.
Anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd itu berkata anugerah berprestij tersebut merupakan bukti pencapaian cemerlangnya yang dibuktikan melalui rekod jumlah premium atau sumbangan bertulis kasar sebanyak RM2.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2024.
Ia berkata pencapaian berkenaan mengukuhkan kedudukan Malaysian Re sebagai satu daripada pengendali insurans semula terkemuka di ASEAN.
“Pengiktirafan ini juga menyerlahkan kejayaan inisiatif penyusunan semula perniagaan strategiknya yang dilancarkan pada 2021 selain memberi tumpuan kepada kepelbagaian serta peningkatan daya tahan terhadap pendedahan bencana alam.
“Kekuatan kewangan Malaysian Re yang kukuh secara konsisten disahkan oleh agensi penarafan kredit terkemuka yang turut menjadi faktor penyumbang kepada pengiktirafan berprestij ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf berkata anugerah tersebut mencerminkan ketahanan, inovasi serta komitmen tidak berbelah bahagi pasukan Malaysian Re.
“Kami berasa amat dihormati dengan pengiktirafan ini dan terdorong untuk membina momentum ini sambil meneruskan perjalanan pertumbuhan kami bersama rakan kerjasama, pelanggan, rakan sejawat dan industri secara amnya.
“Komitmen kami kekal teguh memberikan nilai cemerlang sambil memperkukuhkan daya tahan di pasaran yang kami berikan khidmat,” katanya.
Malaysian Re menegaskan semula visi strategiknya untuk memacu pertumbuhan mampan, memperkasakan pemimpin masa depan dan mengukuhkan peranannya sebagai rakan insurans semula yang dipercayai di ASEAN dan seterusnya.
-- BERNAMA