BERITA TERKINI   ASEAN pertimbang naik taraf hubungan dengan Turkiye kepada status rakan dialog penuh dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | A1 AK Koh Group Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran ACE dibuka mendatar pada 25 sen, tidak berubah daripada harga IPO, dengan 30.44 juta saham diniagakan | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Stok Meningkat Jejaskan Pasaran

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini susulan kebimbangan mengenai peningkatan stok yang menjejaskan sentimen selepas data terkini oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dikeluarkan.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran memberikan reaksi terhadap laporan Jun MPOB, yang menunjukkan jumlah inventori minyak sawit menokok kepada 2.03 juta tan daripada 1.99 juta tan pada Mei, walaupun terdapat penurunan dalam pengeluaran dan eksport pada bulan itu.

“Peniaga berwaspada selepas MPOB melaporkan peningkatan paras stok bulan ke bulan, yang menunjukkan bekalan di pasaran masih mencukupi dan keadaan ini memberi tekanan kepada harga,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Ng berkata prestasi eksport yang lebih kukuh dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini telah memberikan sokongan kepada pasaran dan mengehadkan lagi penurunan.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,100 satu tan dan rintangan pada RM4,250,” katanya.

Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Julai menyusut RM17 kepada RM4,039 satu tan, Ogos 2025 berkurangan RM17 kepada RM4,118 satu tan, dan September 2025 rendah RM11 kepada RM4,146 satu tan.

Kontrak Oktober 2025 berkurangan RM11 kepada RM4,147 satu tan, November 2025 susut RM8 kepada RM4,142 satu tan, dan Disember 2025 menyusut RM4 kepada RM4,147 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 100,487 lot daripada 91,409 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka menurun kepada 226,285 kontrak daripada 230,203 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Julai Selatan meningkat RM20 kepada RM4,150 satu tan.

-- BERNAMA